Pra Belanjawan 2027: Suara ilmuan, halatuju negara
Gambar oleh: En. Muhamad Syazwi Shahlihin
SINTOK, 16 Jun 2026 – Institut Dasar Ekonomi & Kewangan (ECoFI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan diskusi Pra Belanjawan 2027 di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM.
Diskusi bertemakan “Memperkukuh Daya Tahan Negara Melalui Kelestarian, Kesejahteraan dan Ekonomi Masa Hadapan” telah berlangsung secara fizikal dengan menghimpunkan panel akademik daripada pelbagai pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Antara pusat pengajian yang terlibat ialah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), serta Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP).

Seramai 32 panel yang terlibat dalam diskusi dan antaranya adalah Prof. Dr. Roslan Abdul Hakim, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Prof. Dr. Mukaramah Harun, Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat, Prof. Dr. Soon Jan Jan dan ramai lagi.
Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dalam ucapan alu-aluannya meluahkan harapan agar Pra Belanjawan 2027 mampu memberi impak positif kepada semua pemegang taruh. Beliau turut menegaskan bahawa forum seumpama ini merupakan sumbangan universiti kepada kerajaan dalam usaha menggerakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata penyertaan universiti bersama pihak industri, staf pentadbiran, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pemegang taruh lain mampu mewujudkan ruang dan peluang untuk perkongsian idea serta perbincangan intelektual yang merangkumi pelbagai isu, cabaran dan peluang yang bakal dihadapi oleh semua pihak.

Menurutnya, platform sedemikian amat penting dalam menghimpunkan pandangan dan cadangan yang konstruktif, khususnya sebagai persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Pengarah projek, Prof. Dr. Russayani Ismail, berkata universiti bersama kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai pembaharuan yang mampu meningkatkan kelestarian pembangunan serta kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau menjelaskan bahawa perbincangan Pra Belanjawan 2027 kali ini digerakkan berasaskan empat tema utama, iaitu pengukuhan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perlindungan sosial bagi golongan rentan; pemodenan sektor pertanian dan makanan berlandaskan prinsip MADANI ke arah keterjaminan makanan, peningkatan produktiviti dan kelestarian negara; pemerkasaan modal insan melalui transformasi pendidikan dan institusi pengajian tinggi serta pengukuhan Ekonomi MADANI yang merangkumi sektor semikonduktor, eko-pelancongan, industri halal dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, keempat-empat tema tersebut dipilih bagi memastikan cadangan yang dikemukakan dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Secara keseluruhannya, Pra Belanjawan 2027 dilihat sebagai platform strategik untuk menghimpunkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui pelaksanaan pembaharuan yang menyeluruh, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia. – PM Dr. Logasvathi Murugiah



