Mustika Sintok dinobatkan naib johan sayembara pesta pantun peringkat negeri Kedah 2026
Gambar oleh: Ihsan Media Wisma Darul Aman
UUM Online: ALOR SETAR, 15 Jun 2026 – Pasukan Mustika Sintok yang mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas) (PERPATI) berjaya mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Sayembara Pesta Pantun Peringkat Negeri Kedah 2026 yang berlangsung di Dewan Jamuan Utama, Aras 6, Blok E, Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pertandingan yang merupakan sebahagian daripada Program Semarakkan Bahasa Kebangsaan 2026 anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah itu menyaksikan empat pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir selepas berjaya melepasi pusingan saringan yang diadakan pada 3 Jun lalu.

Empat pasukan tersebut ialah Mustika Sintok (Universiti Utara Malaysia), Kesuma Raya (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah), Sri Adikara (Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani) dan Jelapang Ilmu (Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah).
Pasukan Mustika Sintok yang dianggotai oleh Tuan Haji Mohd Fairus bin Abd Majid dari UUM Press, Encik M. Shahadat bin Ali Nordin dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Puan Azam Arni binti Mohd Noor dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Cik Rozita binti Ramli dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) serta Encik Akmal Ahlami bin Md Rozai dari Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) selaku Pengurus Pasukan, mempamerkan persembahan yang cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung.

Pada peringkat separuh akhir, Mustika Sintok berjaya menewaskan pasukan Kesuma Raya sekali gus melayakkan diri ke pentas akhir. Kecemerlangan pasukan turut terserlah apabila Tuan Haji Mohd Fairus bin Abd Majid dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik bagi pusingan separuh akhir hasil persembahan yang mantap dan penuh berwibawa.
Dalam pertembungan akhir yang berlangsung sengit dan penuh dengan keindahan seni berbahasa, Mustika Sintok berdepan pasukan Sri Adikara dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim. Kedua-dua pasukan mempersembahkan pantun yang berkualiti tinggi dan sarat dengan nilai budaya serta kreativiti, namun keputusan akhir menyaksikan Sri Adikara muncul sebagai johan, manakala Mustika Sintok berjaya merangkul gelaran Naib Johan keseluruhan pertandingan.

Kejayaan pasukan UUM bertambah manis apabila Tuan Haji Mohd Fairus bin Abd Majid sekali lagi mencuri perhatian para juri dan berjaya dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik keseluruhan pertandingan, sekali gus membuktikan keunggulan bakat warga UUM dalam memartabatkan seni pantun sebagai warisan bangsa.
Presiden PERPATI UUM, Puan Kartini Tajul Urus, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan Mustika Sintok atas pencapaian membanggakan yang telah dicapai. Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai manifestasi semangat kerja berpasukan, komitmen dan kecintaan warga UUM terhadap bahasa serta warisan budaya Melayu. Menurut beliau, pencapaian ini bukan sahaja membanggakan PERPATI dan universiti, malah turut memperlihatkan peranan penjawat awam dalam menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu dan memelihara khazanah budaya negara.

Sementara itu, Tuan Haji Mohd Fairus bin Abd Majid mewakili pasukan Mustika Sintok menzahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diraih serta penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, PERPATI dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang penyertaan pasukan dalam pertandingan tersebut.
Beliau berkata, kejayaan ini merupakan hasil kesepaduan, semangat setiakawan dan komitmen tinggi setiap ahli pasukan dalam memastikan nama UUM terus dikenali sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan pentadbiran, malah turut menyerlah dalam pemerkasaan bahasa dan seni budaya.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), YBhg. Dato’ Muhammad Mahazi bin Haji Ibrahim. Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan dan hadiah iringan berupa buku-buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.
Kejayaan Mustika Sintok dalam Sayembara Pesta Pantun Peringkat Negeri Kedah 2026 membuktikan bahawa warga Universiti Utara Malaysia sentiasa komited dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu dan seni pantun sebagai warisan bangsa yang wajar terus dipelihara dan diperkasakan demi generasi akan datang. – Akmal Ahlami Md Rozai



