Smart Solutions, Green Future forum perkukuh kerjasama ke arah kelestarian alam sekitar
Gambar Muhammad Zulkarnain Fahmi Che Sarudin
SINTOK, 9 Julai 2026: Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi (POM), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan ‘Smart Solutions, Green Future Forum: Collaborative Actions Towards Environmental Sustainability’ di Dewan Seminar C, STML bersempena STML Green Carnival 2026.

Forum ini bertujuan menghimpunkan pakar daripada sektor kerajaan, industri dan alam sekitar bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman serta penyelesaian inovatif dalam memperkasakan agenda kelestarian alam sekitar.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), STML, Prof. Log. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli berkata, kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemain industri sangat penting dalam memperluaskan amalan lestari, memperkasakan teknologi hijau serta menangani cabaran alam sekitar melalui inovasi dan tindakan secara kolektif.
Forum ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman selaku moderator dan menampilkan tiga panel jemputan yang berpengalaman iaitu Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab; Ketua Pengurusan Projek, Green Resource Recovery Sdn. Bhd., Ts. Muhammad Khairul Nizam Suid dan Pengarah Ecopro Training Centre, Prof. Dr. Mahamad Hakimi Ibrahim.

Sepanjang forum berlangsung, panel membincangkan pelbagai isu penting berkaitan kelestarian alam sekitar, termasuk ekonomi kitaran, pengurusan sisa, penggunaan teknologi hijau, amalan pertanian mampan serta kepentingan kerjasama strategik antara institusi akademik, agensi kerajaan dan sektor industri dalam menangani cabaran alam sekitar secara lebih berkesan.
Perkongsian yang diberikan turut mengetengahkan pelbagai pendekatan praktikal dan inovatif yang mampu menyokong pembangunan mampan serta merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Sesi soal jawab menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila para peserta mengambil peluang untuk mendapatkan pandangan panel berhubung isu pengurusan alam sekitar, pelaksanaan teknologi hijau, peluang kerjaya dalam bidang kelestarian serta langkah-langkah praktikal yang boleh diambil bagi menyokong pembangunan lestari.

Smart Solutions, Green Future Forum: Collaborative Actions Towards Environmental Sustainability berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar serta memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan agensi kerajaan.
Program ini diharapkan dapat menjadi platform yang berterusan dalam memupuk budaya inovasi, memperkasa amalan lestari dan melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar demi masa depan yang lebih hijau. – Nur Afina Damia Mahadi



