SOE perkukuh kerjasama strategik melalui Bengkel Pembaharuan MoU dan MoA 2026
Gambar Muhammad Azhar Kamaruzaman
SINTOK, 15 Jun 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Strengthening SOE Postgraduate Partnership: A Workshop on MoU Strategy and Renewal 2026 di EDC-UUM bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik serta memperkemaskan proses pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan institusi rakan strategik dalam dan luar negara.

Program sehari itu menghimpunkan wakil daripada SOE yang terlibat secara langsung dalam pengurusan kerjasama akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan. Bengkel ini turut mendapat kerjasama daripada Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) serta Jabatan Undang-Undang (JUU) UUM.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOE, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof berkata, MoU dan MoA bukan sekadar dokumen rasmi, malah merupakan instrumen penting yang membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar, pembangunan staf, penerbitan bersama serta perkongsian kepakaran di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sehubungan itu, menurutnya, SOE sentiasa komited untuk memastikan setiap kerjasama yang diwujudkan memberikan impak yang jelas, terukur dan mampan kepada universiti serta pemegang taruh.

Bengkel ini bertujuan meneliti status semasa dokumen MoU dan MoA yang sedang berjalan, mengenal pasti keperluan pembaharuan, memperkemas skop kerjasama, menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang relevan serta menyediakan dokumen yang lengkap untuk tujuan penghantaran dan kelulusan.
Sesi taklimat telah dikendalikan oleh Mohd Azri Abdul Aziz dan Dr. Mohd Faizuddin Muhammad Zuki daripada CIAC serta Muhammad Naimullah Hazim Abdul Safar daripada JUU.
Dalam sesi perkongsian tersebut, peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai konsep, fungsi dan prosedur berkaitan Letter of Intent (LOI), Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).
Bagi memudahkan pemahaman peserta, penceramah menggunakan analogi yang menarik iaitu LOI diibaratkan sebagai proses merisik, MoU sebagai pertunangan dan MoA sebagai perkahwinan, yang menggambarkan tahap komitmen yang semakin meningkat dalam sesuatu bentuk kerjasama strategik.
Selain menjelaskan prosedur dan keperluan dokumentasi, penceramah turut memperkenalkan pelbagai platform serta laman web rasmi universiti yang perlu diterokai oleh pensyarah dan penyelaras kerjasama antarabangsa. Pelbagai tip dan amalan terbaik turut dikongsikan bagi membantu peserta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus, memantau dan memperbaharui dokumen kerjasama strategik secara lebih berkesan.

Program diteruskan dengan pembentangan status terkini sembilan dokumen MoU dan MoA yang sedang aktif di bawah SOE. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada kumpulan kerja bagi meneliti status setiap dokumen, skop kerjasama, petunjuk prestasi utama (KPI), data sokongan yang diperlukan serta isu dan risiko yang perlu diberi perhatian sebelum proses pembaharuan dilaksanakan.
Pada sebelah petang, peserta memberi tumpuan kepada penyediaan dan penulisan draf pembaharuan MoU dan MoA dengan meneliti semula kandungan, klausa, KPI dan pelan aktiviti yang dicadangkan. Hasil perbincangan kemudiannya dibentangkan untuk tujuan semakan, pengesahan dan persediaan penghantaran kepada pihak berkaitan.
Peserta menghargai pendekatan praktikal yang digunakan sepanjang bengkel kerana mereka bukan sahaja menerima taklimat, malah berpeluang menyediakan dan menambah baik dokumen pembaharuan secara langsung dengan bimbingan fasilitator.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen SOE dalam memastikan setiap kerjasama strategik yang diwujudkan mampu memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf serta pengantarabangsaan universiti.
Melalui pendekatan yang lebih sistematik dan berfokus, SOE berharap pembaharuan MoU dan MoA yang dilaksanakan akan memperkukuh kedudukan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing serta mampu membina jaringan kerjasama yang mampan di peringkat nasional dan antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof



