SOIS kukuh usaha tingkat kualiti penerbitan akademik
Gambar Amirul Aiman Che Omar
SINTOK, 20 Februari 2025: Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program High-Impact Publishing Strategies: A Guide to Publishing in Scopus and WOS.
Program ini bertujuan untuk memberikan peserta pemahaman mendalam mengenai konsep dan kriteria penerbitan berimpak tinggi, khususnya dalam pangkalan data Scopus dan Web of Science (WOS).
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr Shazwanis Shukri berkata, antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pengetahuan kepada peserta tentang strategi dan langkah-langkah praktikal dalam menyiapkan manuskrip yang berjaya diterima oleh jurnal yang diindeks dalam Scopus dan WOS.
Menurutnya, program ini juga bertujuan untuk membantu peserta meningkatkan kemahiran penulisan akademik, dengan memberi fokus kepada gaya penulisan yang disesuaikan untuk jurnal berindeks tinggi dan memenuhi kriteria jurnal antarabangsa.
“Selain itu, peserta berpeluang untuk mempelajari tentang proses peer review dalam jurnal berindeks Scopus dan WOS, termasuk cara menanggapi komen serta memperbaiki manuskrip berdasarkan maklum balas yang diterima,” katanya.
Prof. Dr. Kuik Cheng Chwee dari Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dijemput sebagai penceramah untuk sesi tersebut.
Seramai 35 peserta telah menghadiri program ini dan menyatakan bahawa ia memberikan banyak manfaat kepada mereka dalam bidang penerbitan akademik.
Program ini merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan kualiti penerbitan akademik di kalangan penyelidik dan akademik di Malaysia. – Rosmiza Ahmad