Campus

SoL perkukuh tadbir urus dan kepimpinan strategik

Gambar Norjannah Nasaruddin

SINTOK, 19 April 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Tadbir Urus dan Kepimpinan Strategik SOL 2026 selama dua hari bermula pada 17 sehingga 18 April lalu di EDC-UUM.

Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, bengkel ini dianjurkan dengan matlamat utama untuk menyelaraskan hala tuju pusat pengajian selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 (RPTM 2026) dan Pelan Strategik Universiti.

Menurutnya, selaras dengan pelantikan penjawat utama pada Februari 2026, penganjuran ini dianggap kritikal bagi memastikan perancangan strategik, tadbir urus, dan pencapaian KPI tahunan dapat dicapai secara bersepadu dalam kalangan barisan kepimpinan.

“Antara objektif utama bengkel ini adalah menyemak prestasi semasa serta penjajaran strategi baharu pusat pengajian, membentuk pelan perancangan khusus bagi tahun 2026, memperkukuh kolaborasi dan kesepaduan dalam kepimpinan organisasi, dan memperkasa akauntabiliti serta memantapkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

“Bengkel ini juga menjadi platform berfokus untuk menyatukan visi warga pusat pengajian dalam mencapai KPI yang ditetapkan, termasuk peningkatan produktiviti staf akademik dan program kesejahteraan,” katanya.

Seramai 20 peserta yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi SoL, termasuk Timbalan-timbalan Dekan, serta pengerusi pelbagai jawatankuasa pusat pengajian telah mengambil bahagian dalam program ini.

Sepanjang dua hari bengkel, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti intensif, antaranya pembentangan laporan pencapaian dan analisa prestasi SoL tahun 2023 hingga 2025, sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bagi perancangan strategi jawatankuasa, pemetaan strategik perancangan SoL dengan Pelan Strategik UUM, dan pembentangan hasil resolusi bengkel.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan Pusat Pengajian Undang-Undang UUM dalam memacu kecemerlangan tadbir urus demi mendukung kualiti pendidikan tinggi negara. – Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button