SOL terima lawatan kali kedua Fakulti Undang-Undang SSRU, Thailand perkukuh kerjasama akademik
Gambar Abu Bakar Omar
SINTOK, 15 Julai 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Undang-Undang, Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU), Thailand bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai pelaksanaan pelbagai inisiatif kerjasama akademik antara kedua-dua fakulti undang-undang.
Delegasi SSRU diketuai oleh Dekan Fakulti Undang-Undang, Assistant Professor Dr. Kamonwan Yoowattana, bersama dua lagi pensyarah fakulti disambut mesra oleh Dekan SOL UUM, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama barisan pengurusan dan pentadbiran SOL.

Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara SSRU dan UUM sebelum ini dan bagi membincangkan tentang perancangan yang lebih terperinci bagi memastikan setiap inisiatif yang telah dipersetujui dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Dr. Kamonwan berkata, lawatan ini juga merupakan kunjungan kali kedua delegasi SSRU ke SOL dalam tempoh beberapa bulan di mana pada kunjungan pertama telah membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik, manakala lawatan kali ini membuktikan kesungguhan pihak SSRU untuk merealisasikan perancangan yang telah dibincangkan sebelum ini. Perkembangan ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua institusi dalam memperkukuhkan hubungan akademik antara dua fakulti undang-undang dari Malaysia dan Thailand.
Antara fokus utama perbincangan ialah pelaksanaan program mobiliti jangka pendek pelajar, di mana SSRU akan menghantar sekumpulan pelajar undang-undang ke SOL bagi mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran bersama pelajar SOL.

Program ini turut merangkumi lawatan akademik, aktiviti pertukaran budaya serta program pembangunan pelajar yang dijangka dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran dan meningkatkan kefahaman terhadap sistem perundangan serta budaya kedua-dua negara.
Sementara itu, Dr. Harlida berkata, perbincangan turut menjurus kepada pelaksanaan penyelidikan bersama antara pensyarah SOL dan SSRU, penulisan serta penerbitan ilmiah secara kolaboratif, penganjuran seminar, persidangan dan syarahan akademik, selain pertukaran kepakaran dalam bidang undang-undang.
“Kerjasama ini dijangka memperkukuhkan jaringan penyelidikan antarabangsa, meningkatkan hasil penerbitan bersama serta membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah dan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti akademik di peringkat antarabangsa.
“Di samping itu, kedua-dua institusi turut meneroka peluang untuk melaksanakan mobiliti pensyarah, perkongsian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan kurikulum serta program pembangunan profesional yang dapat menyumbang kepada kecemerlangan akademik kedua-dua fakulti,” katanya.

Beliau berharap agar segala perancangan yang dibincangkan dapat direalisasikan dengan jayanya.
Menurutnya, lawatan kali kedua delegasi SSRU ke SOL jelas menggambarkan komitmen dan kesungguhan mereka dalam memperkukuhkan hubungan akademik yang telah terjalin.
“Saya berharap segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat dalam bidang akademik, penyelidikan serta pengantarabangsaan antara kedua-dua fakulti,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah dan pelajar untuk memperoleh pengalaman antarabangsa, memperluaskan jaringan profesional serta meningkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan di peringkat serantau dan global. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah



