SQS menjulang sinergi akademia dan industri
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 23 Oktober 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia telah menerima kunjungan delegasi daripada Intel Supply Chain Management (SCM) dalam satu majlis penyerahan plak Intel Excellence Award yang akan dianugerahkan kepada graduan terbaik SQS pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38 nanti.
Dalam majlis tersebut, penyerahan plak telah disempurnakan oleh wakil Intel SCM, Justin Pragasam kepada Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Yang Menjalankan Tugas Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi sebagai simbolik penghargaan dan jalinan kerjasama erat antara kedua-dua industri dan universiti.
Dr. Nerda Zura berkata, melalui Intel Excellence Award ini, dua graduan terbaik SQS pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38 nanti akan menerima plak dan wang tunai daripada pihak Intel sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan akademik serta potensi mereka dalam bidang analitik dan sains data.
Majlis diteruskan dengan forum bertajuk “Navigating Your Career: Insight from Alumni and Graduates on Bridging Academic Learning with Real-World Expectations” yang dihadiri oleh pelajar dan pensyarah SQS.
Forum ini dikendalikan oleh pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Hana Humaira Che Rosli, dengan menampilkan empat panelis daripada Intel, iaitu Jinq Kae, Abbie Koo, Jenson, dan Nurul Zawani.
Dalam sesi tersebut, panel berkongsi pengalaman tentang bagaimana pengetahuan akademik dalam bidang statistik dan analitik diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar, khususnya dalam industri teknologi global seperti Intel. Mereka turut menekankan kepentingan penguasaan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, kebolehsuaian dalam organisasi, dan pemikiran kritikal yang menjadi nilai tambah utama dalam menempuh cabaran kerjaya masa kini.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara SQS dan Intel, malah membuka peluang kepada pelajar untuk memahami keperluan industri serta memperkukuh kemahiran profesional mereka sebagai persediaan menuju alam pekerjaan.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah, Kerjasama Industri, Pusat Kerjasama Universiti – Industri (CUIC), Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, yang sentiasa menyokong usaha memperkukuh hubungan strategik antara pihak industri dan akademia.- Dr. Mohd Saiful Adi Mohamad