SQS Perkasa Persediaan Pensyarah Baharu Menjelang Semester A252
Gambar oleh Noramalina Shamsudin
SINTOK, 8 Mac 2026 – Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan minggu orientasi dan sesi perjumpaan khas antara pihak pengurusan bersama barisan pensyarah baharu. Inisiatif ini bertujuan memperkenalkan sistem pengurusan serta ekosistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang diamalkan di SQS.

Dalam sesi tersebut, Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, telah menerangkan pengenalan menyeluruh mengenai SQS serta hala tuju strategik pusat pengajian. Sesi diteruskan dengan perkongsian daripada semua Timbalan Dekan yang memperincikan portfolio masing-masing.
Fokus utama diberikan kepada hal ehwal akademik sebagai persediaan rapi buat para pensyarah yang akan memulakan sesi pengajaran bagi semester A252 pada 15 Mac 2026 ini.
Sesi ini juga merangkumi penerangan terperinci mengenai portfolio Penyelidikan dan Inovasi, selain menekankan aspek kebajikan pelajar serta penglibatan aktif alumni dalam menyokong agenda SQS.

Jawatankuasa Seminar, Latihan, dan Pembangunan Bakat turut memberikan latihan intensif mengenai penggunaan portal rasmi UUM.
Manakala, Jawatankuasa Global Online Learning (GOL) memberi pendedahan mengenai sistem UUM Online Learning bagi menyokong keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran digital serta membimbing secara praktikal cara mengendalikan peralatan teknikal di dalam bilik kuliah sebagai persediaan awal.
Turut berkongsi pengalaman ialah Dr. Mohd Azri Pawan Teh yang menjelaskan proses pengesahan dalam perkhidmatan staf akademik.

Beliau menekankan bahawa dalam tempoh tiga tahun, pensyarah baharu wajib menghadiri kursus yang ditetapkan serta memenuhi syarat-syarat khusus sebelum disahkan dalam jawatan.
Dekan menzahirkan harapan agar minggu orientasi ini dapat membantu pensyarah baharu memahami persekitaran kerja dan sistem pengajaran dan pembelajaran di SQS dengan lebih jelas.
Kelihatan kalangan pensyarah baharu lebih keterujaan dan bersemangat tinggi untuk memulakan tugasan mereka menjelang semester A252 nanti. – Haslida Ismail



