SQS Quantifest 2026 tampilkan perkongsian alumni: Relevankah kerjaya kuantitatif dalam era AI?
Gambar oleh: Zamalik Hassan
SINTOk, 20 April 2026: Persoalan tentang masa depan kerjaya kuantitatif dalam dunia yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan dalam slot Alumni Sharing Knowledge sempena SQS Quantifest 2026 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Slot bertajuk “Quantitative Jobs in the Age of AI” ini menampilkan alumni Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Tn. Alfian bin Ahmad, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif CEMS Ventures Sdn Bhd, sebagai panel jemputan.

Beliau hadir khas dari Sabah bagi berkongsi pengalaman serta memberi motivasi kepada para pelajar UUM. Sesi ini dikendalikan oleh moderator, Saudara Isaac Yang, dan berjaya menarik perhatian pelajar yang ingin memahami realiti sebenar dunia kerjaya masa kini.
Dalam perkongsian tersebut, Tn. Alfian menegaskan bahawa walaupun AI semakin mendominasi pelbagai sektor, bidang kuantitatif masih kekal relevan dan mempunyai permintaan tinggi dalam industri. Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa graduan tidak boleh hanya bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu melengkapkan diri dengan keupayaan adaptasi, pemikiran kritikal dan kemahiran insaniah yang kukuh.
Beliau turut menekankan kepentingan menetapkan matlamat kerjaya yang jelas sebagai panduan hala tuju masa depan, di samping memiliki mentor yang dapat membimbing dan memberi perspektif dalam membuat keputusan kerjaya.

Selain itu, pelajar juga perlu fleksibel dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, sentiasa bersedia menghadapi cabaran dalam persekitaran kerja yang dinamik, serta berani mencuba perkara baharu dengan semangat “just do it”. Dalam masa yang sama, aspek akhlak, nilai diri dan penghormatan kepada ibu bapa turut ditekankan sebagai asas penting dalam membina kejayaan yang seimbang.
Perkongsian ini membuka perspektif baharu dalam kalangan pelajar bahawa kejayaan dalam era moden bukan hanya bergantung kepada kepakaran, tetapi turut dipengaruhi oleh sikap, nilai dan keupayaan untuk terus berkembang dalam dunia yang sentiasa berubah.
Program ini merupakan sebahagian daripada SQS Quantifest 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 April 2026 di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM, dan dilihat mampu memperkukuh hubungan antara alumni dan pelajar serta memberi pendedahan awal kepada realiti industri sebenar. – Yuhaniz Ahmad



