Campus

SQS UUM teroka kerjasama bersama CWORKS dalam pembangunan data dan industri

Gambar Zamalik Hassan

SINTOK, 27 April 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) berbesar hati menerima kunjungan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CWORKS, Ts Dr. Abdul Rani Achmed Abdullah dalam satu lawatan rasmi ke SQS pada 19 April lalu.

Kunjungan ini telah membuka ruang kepada sesi perbincangan bersama Dekan, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi dan pihak pengurusan SQS berkaitan cadangan kolaborasi strategik yang berpotensi dilaksanakan antara kedua-dua pihak, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.

Dr. Nerda Zura berkata, antara cadangan utama yang dibincangkan ialah penganjuran Data Challenge Competition yang berpotensi menjadi platform untuk mencungkil bakat pelajar dalam menyelesaikan masalah berasaskan data secara kreatif dan inovatif.

Menurutnya, inisiatif ini dicadangkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap situasi sebenar industri serta menggalakkan aplikasi pengetahuan teori dalam konteks praktikal, selaras dengan keperluan semasa.

Selain itu, perbincangan turut melibatkan cadangan penempatan pelajar bagi latihan industri (internship) serta potensi pelaksanaan penyelidikan bersama antara pihak universiti dan industri.

Melalui cadangan ini, pelajar dijangka berpeluang menimba pengalaman dalam persekitaran kerja profesional, manakala kolaborasi penyelidikan berpotensi menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Secara keseluruhannya, perbincangan ini mencerminkan komitmen awal ke arah membangunkan kerjasama yang lebih kukuh antara SQS UUM dan CWORKS pada masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button