SOG UUM Anjur Seminar Perkasa Geran Komuniti Yayasan Hasanah
Gambar oleh: Dr Shamsilah Misnan & Dr. Nur Fariha Mohd Noor
SINTOK, 22 April 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Seminar Penyelidikan bertemakan “Dari Idea ke Impak: Memanfaatkan Dana Geran Komuniti Yayasan Hasanah untuk Inovasi Berimpak Tinggi” bertempat di Bilik Seminar SOG.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah, penyelidik dan warga akademik berkaitan peluang pembiayaan geran komuniti serta strategi membangunkan proposal yang berdaya saing, berimpak dan memenuhi keperluan semasa Masyarakat terutama untuk permohonan geran Yayasan Hasanah.

Sesi perkongsian ini disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Umi Fazara Md. Ali, Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sebagai penceramah jemputan.
Beliau berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan pembangunan projek komuniti melalui geran Yayasan Hasanah, jaringan strategik bersama pemegang taruh, serta kaedah menghasilkan cadangan geran yang berpotensi tinggi untuk diluluskan.
Penganjuran seminar ini juga membuka ruang kepada pensyarah SOG untuk memahami strategi-strategi berkesan dalam memohon geran Yayasan Hasanah yang akan dibuka dalam masa terdekat.

Penganjuran seminar ini dilihat selari dengan aspirasi pembangunan mampan khususnya SDG 4: Quality Education dan SDG 11: Sustainable Cities and Communities, di samping memperkukuh budaya penyelidikan berorientasikan penyelesaian masalah masyarakat.
Program ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Penerbitan serta Jawatankuasa Inovasi dan Pengkomersialan SOG. Inisiatif sebegini diharap dapat meningkatkan keupayaan warga akademik menghasilkan penyelidikan transformatif yang memberi manfaat langsung kepada komuniti dan negara. – Dr Khofizhoah Mohd Karim



