STF IBS UUM anjur AI Tools Workshop bagi perkasa produktiviti pensyarah
Gambar Wan Muhammad Akid Wan Ali dan Anis Sofea Azman
SINTOK, 7 Julai 2026: Dalam usaha memartabatkan produktiviti kerja dan memperkasakan penulisan, penerbitan dan penyelidikan, seramai 20 pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai AI Tools Workshop di Bilik Makmal Komputer 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh tenaga pengajar jemputan iaitu Dr. Mohd Herry Mohd Nasir, Pensyarah Kanan dan Leadership Trainer merangkap Duta AI AKEPT dan Timbalan Pengarah UUMIT.
Program yang bertemakan “AI for Productivity. Lead with Intelligence” ini dianjurkan oleh Dana Sosial Takaful (STF), IBS UUM.
Dr. Mohd Herry berkata, program ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta dalam memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi membantu melaksanakan serta memudahkan urusan kerja harian, terutamanya dalam aspek penerbitan, penulisan artikel ilmiah dan penyelidikan.
Melalui pengisian yang bersifat praktikal, pensyarah didedahkan dengan cara membuat keputusan yang lebih bijak serta kaedah bekerja dengan lebih efisien.
Selain daripada perkongsian ilmu, para peserta turut berpeluang untuk mendapatkan akses penggunaan “AI Tools” rasmi yang berdaftar secara sah di bawah UUM bagi menyokong aktiviti akademik mereka.

Sepanjang bengkel, peserta telah meneroka pelbagai aplikasi AI terkemuka seperti ChatGPT untuk meningkatkan kualiti penulisan, analisis, dan penyelesaian masalah.
Turut dipelajari adalah penggunaan Gemini untuk carian maklumat, meringkaskan teks, dan menjana idea dengan lebih pantas, serta NotebookLM yang membantu mengurus, memahami, dan menjana ‘insight’ daripada dokumen akademik dengan mudah.
Melalui moto “Pelajari. Amalkan. Terapkan.”, inisiatif proaktif ini diharap dapat melahirkan warga akademik berprestasi tinggi yang bersedia mendepani masa depan digital selaras dengan status UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka. – Muhammad Nazmi Abdullah Thani



