Campus

STML jalani Audit Pematuhan Akreditasi Penuh Program Sarjana Muda Pengurusan Operasi dengan Kepujian

Gambar STML

SINTOK, 3 November 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalani Audit Pematuhan Akreditasi Penuh bagi Program Sarjana Muda Pengurusan Operasi dengan Kepujian selama dua hari pada 28 dan 29 Oktober lalu.

Audit tersebut diketuai oleh Ahli Panel Penilai (APP), Prof. Dr. Muhammad Shahar Jusoh dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang merupakan pakar dalam bidang berkaitan.

Proses audit meliputi semakan dokumen, sesi temu bual bersama pihak pengurusan pusat pengajian, Pengurus Kualiti, pensyarah, pelajar serta alumni, di samping cerapan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah.

Pengarah Pusat Swaakreditasi UUM, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud berkata, Pematuhan Akreditasi Penuh merupakan penilaian yang dijalankan bagi memantau program yang telah memperoleh Akreditasi Penuh.

Menurutnya, ianya bertujuan memastikan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) dapat mengekalkan serta mempertingkatkan kualiti, standard serta kriteria yang ditetapkan, sekali gus menjamin kualiti keseluruhan program.

Katanya, penilaian ini dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada APP atas pandangan serta maklum balas yang konstruktif sepanjang proses audit berlangsung.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Norsiah Hami, Jawatankuasa Akreditasi serta seluruh warga STML atas komitmen dan kerjasama yang diberikan bagi memastikan pelaksanaan audit berjalan dengan lancar.

Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada staf Pusat Swaakreditasi atas bantuan, sokongan dan kerjasama berterusan sepanjang proses audit berlangsung.

Audit ini mencerminkan komitmen STML dalam memperkukuh kualiti akademik dan memastikan tadbir urus program pengajian sentiasa berada pada tahap cemerlang.

Proses ini akan disusuli dengan penyediaan laporan oleh APP serta maklum balas rasmi daripada pihak pusat pengajian bagi tujuan penambahbaikan berterusan. – Salina Ali

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button