STML, UUM Terokai Kerjasama Strategik Bersama Proton
Berita dan gambar oleh: Salina Ali
SHAH ALAM, 17 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengorak langkah memperkukuh jaringan industri apabila mengadakan kunjungan hormat ke Proton Holdings Berhad, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan, pelaksanaan latihan industri serta perkongsian kepakaran, selaras dengan keperluan industri automotif yang semakin dipacu teknologi dan inovasi.

Delegasi STML diketuai Dekannya, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim bersama barisan akademik yang terdiri daripada Felo Technology and Supply Chain Excellence Institute (TeSCE), Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim serta Pengerusi Program Pascasiswazah STML, Dr. Rushanim Hashim dan Dr. Syairah Aimi Shahron.
Ketibaan delegasi disambut Ketua Pegawai Sumber Manusia Proton Holdings Berhad, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi yang turut berkongsi pandangan mengenai keperluan tenaga kerja masa hadapan, khususnya dalam aspek kemahiran digital, kecekapan operasi dan inovasi teknologi bagi menyokong transformasi industri automotif negara.

Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan berkata, kerjasama strategik bersama industri merupakan elemen penting dalam memastikan kelestarian dan kerelevanan program akademik universiti.
“Kerjasama dengan pemain industri seperti Proton membolehkan pihak universiti memastikan kurikulum sentiasa relevan dan responsif terhadap keperluan semasa, di samping melahirkan graduan yang kompeten serta mempunyai kebolehpasaran tinggi,” katanya.

Sementara itu, pihak Proton turut menyatakan keterbukaan untuk menjalinkan kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi dalam usaha membangunkan bakat masa hadapan.
Kolaborasi tersebut berpotensi diperluaskan melalui pelaksanaan program penempatan industri pelajar serta pembangunan latihan profesional staf antara UUM dan Proton yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UUM untuk memperkukuh jaringan kerjasama industri di peringkat nasional, sekali gus memastikan program akademik kekal relevan serta responsif terhadap keperluan semasa industri.



