Titip legasi 37 tahun khidmat bakti, Pusat Islam UUM rakam penghargaan buat Rozlina A.Seman
Gambar Pusat Islam UUM
SINTOK, 21 Julai 2026: Selepas 37 tahun menabur bakti sebagai warga Universiti Utara Malaysia (UUM), Pembantu Tadbir Kanan, Rozlina A. Seman melabuhkan tirai perkhidmatan dengan penuh kenangan dan penghargaan, meninggalkan jejak khidmat yang tidak ternilai kepada universiti khususnya Pusat Islam UUM.
Memulakan langkah kerjaya pada tahun 1987 di Kampus UUM Tanah Merah, Jitra, Rozlina merupakan antara warga awal yang menyaksikan perjalanan panjang transformasi UUM dari sebuah kampus yang sedang berkembang sehingga menjadi institusi pengajian tinggi terkemuka negara.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di tujuh jabatan yang berbeza, memperlihatkan kesetiaan, keupayaan menyesuaikan diri serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Beliau memulakan khidmat sebagai staf sambilan di Jabatan Hal Ehwal Akademik selama setahun dengan menguruskan urusan peperiksaan sebelum meneruskan perkhidmatan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah selama 11 tahun.
Seterusnya, beliau berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kolej Maybank selama tiga tahun sebelum menyertai Pusat Islam UUM buat kali pertama pada tahun 2004 hingga 2010 selama enam tahun.
Selepas itu, beliau meneruskan khidmat di UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) selama setahun dan kemudiannya di Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences selama 10 tahun.
Pada tahun 2021, Rozlina kembali ke Pusat Islam UUM, tempat yang cukup dekat di hati beliau. Terus mencurahkan tenaga, pengalaman serta kesungguhan sehingga tiba tarikh keramat persaraan wajib pada 20 Julai 2026.

Sepanjang berada di Pusat Islam UUM, beliau dikenali sebagai seorang warga kerja yang komited, teliti dan sentiasa berusaha memastikan setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan diselesaikan dengan sebaik mungkin. Kecintaan beliau terhadap jabatan terserlah melalui kesungguhan, kesediaan membantu rakan sekerja serta keprihatinan dalam memastikan kelancaran setiap urusan yang dilaksanakan.
Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Rozlina atas segala sumbangan, kesetiaan dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat bersama Pusat Islam UUM.
“Puan Rozlina bukan sekadar melaksanakan tugas sebagai seorang warga kerja, tetapi hadir dengan jiwa yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih kepada Pusat Islam UUM.
“Kesungguhan beliau dalam menyelesaikan amanah, keikhlasan membantu serta komitmen yang tidak berbelah bahagi menjadi contoh yang wajar dihargai dan dikenang,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Rozlina dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, ketenangan jiwa, keberkatan usia serta kehidupan yang lebih bermakna selepas persaraan.
Semoga segala ilmu, pengalaman dan kebaikan yang telah dicurahkan sepanjang 37 tahun perkhidmatan menjadi amal jariah yang berterusan. Semoga Allah SWT membalas segala jasa dan pengorbanan beliau serta memberikan kebahagiaan bersama keluarga dalam fasa kehidupan yang baharu.
Warga Pusat Islam UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala ilmu, budi dan bakti yang telah ditinggalkan. Legasi keikhlasan dan komitmen Rozlina akan terus menjadi kenangan indah serta inspirasi kepada seluruh warga Pusat Islam UUM. – Nor Azlinah Zaini



