Campus

TNC (P&I) perkukuh agenda penyelidikan dan inovasi warga SOC

Gambar SOC dan UniFILM

SINTOK, 24 Mei 2026: Program jerayawara bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang berlangsung di Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan agenda penyelidikan, inovasi dan pembangunan Research Group (RG) dalam kalangan warga akademik universiti.

Ia menghimpunkan pensyarah SOC bagi membincangkan hala tuju penyelidikan universiti secara lebih strategik selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi digital, perubahan ekonomi global serta cabaran masa hadapan yang semakin kompleks.

Dr. Ram berkata, pelaksanaan RG di setiap pusat pengajian mampu membentuk budaya penyelidikan kolaboratif berteraskan konsep ‘We Before Me’ yang diyakini dapat meningkatkan penerbitan berimpak tinggi, kejayaan memperoleh geran kompetitif serta penghasilan inovasi yang lebih tersusun dan berkualiti.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kumpulan penyelidikan perlu mempunyai fokus bidang tujahan yang jelas serta selari dengan agenda nasional seperti MySTIE, Sustainable Development Goals (SDG) dan Environmental, Social and Governance (ESG) supaya hasil penyelidikan yang dijalankan mampu memberi manfaat kepada industri, komuniti dan negara secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa budaya penyelidikan masa kini perlu beralih daripada sekadar melaporkan aktiviti kepada penghasilan nilai dan impak sebenar melalui pengukuran Return on Investment (ROI) dan Return on Value (ROV) yang lebih sistematik, berfokus serta memberi impak tinggi kepada universiti dan masyarakat.

Sepanjang sesi berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama SOC, pelbagai pertanyaan dan pandangan turut dikemukakan oleh warga akademik melibatkan aspek permohonan geran penyelidikan, pengukuhan kolaborasi industri, pembangunan RG serta isu-isu berkaitan infrastruktur dan infostruktur bagi memastikan ekosistem akademik dan penyelidikan yang lebih kondusif dapat diwujudkan.

Sementara itu, Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali menyifatkan jerayawara tersebut sebagai medium penting dalam membantu warga akademik memahami dengan lebih jelas aspirasi universiti berkaitan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

Menurutnya, perkongsian yang disampaikan oleh pengurusan universiti memberi nilai tambah kepada warga SOC dalam menyusun strategi penyelidikan yang lebih tersusun, relevan dan berimpak tinggi sejajar dengan keperluan semasa industri teknologi dan digital.

Pada masa sama, Dr. Osman turut merakamkan penghargaan atas segala pandangan, nasihat dan penekanan yang diberikan sepanjang program berlangsung kerana input tersebut akan dijadikan panduan dalam memperkukuh budaya penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi serta jaringan kolaborasi strategik di SOC.

Beliau berharap hubungan erat antara pihak pengurusan universiti dan warga akademik akan terus diperkasakan demi memastikan UUM kekal cemerlang dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa melalui penghasilan penyelidikan dan inovasi yang memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

Antara jabatan yang turut terlibat dalam jerayawara tersebut ialah Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), UUM Information Technology (UUMIT), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) serta Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC). – Noor Aina Norrdin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button