Campus

UTLC terajui penyediaan polisi pengajaran dan pembelajaran UUM

Berita dan gambar oleh Nursyauqina Lokman

SINTOK, 29 April 2026: Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) memperkukuh nilai korporatnya sebagai jabatan yang dinamik melalui inisiatif penyelarasan semula dan penyediaan Polisi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Bengkel strategik yang dianjurkan oleh taskforce di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) ini merupakan respons langsung terhadap keperluan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 merupakan pelan strategik baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mentransformasi landskap pendidikan tinggi negara kepada sistem yang lebih luwes, dinamik, dan berpacukan nilai.

Pengarah UTLC, Prof. Dr. Siti Noor Ismail, menjelaskan bahawa semakan dan penyediaan polisi ini adalah langkah bagi memastikan UUM kekal sebagai relevan dan peneraju dalam kecemerlangan pengurusan.

Dengan mengambil kira perubahan landskap ekonomi digital, polisi baharu ini mengambil kira beberapa perkara seperti elemen kecerdasan buatan (AI), Open and Distance Learning (ODL) dan pembelajaran hibrid, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan UUM dalam mengadaptasi teknologi bagi menyokong ekosistem pendidikan yang lebih fleksibel dan mampan.

Langkah ini juga mencerminkan akauntabiliti universiti dalam memelihara kualiti akademik merentas semua pusat pengajian. Melalui penyeragaman amalan PdP, UUM menjamin bahawa setiap pelajar menerima standard pendidikan yang konsisten dan bermutu tinggi.

Polisi yang komprehensif ini akan berfungsi sebagai kompas strategik bagi para pensyarah untuk menerapkan nilai kemahiran insaniah dan etika profesional, yang merupakan teras kepada identiti graduan UUM.

Penganjuran bengkel di EDC UUM ini melibatkan sinergi barisan pakar akademik dan pengurusan bagi menghasilkan draf polisi yang bersifat inklusif dan responsif. Proses libat urus ini memastikan setiap penambahbaikan yang dicadangkan adalah realistik dan mampu memacu transformasi digital universiti secara sistematik.

Hadir sama, Prof. Dr. Arumugam a/l Raman (SOE) , Prof. Dr. Abd Halim Abd Majid (SBM), Prof. Dr. Huda Bt Haji Ibrahim (SOC), Puan Azian Nafiah (HEA) dan wakil daripada Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik (CAEP).

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button