UUM dan NADI rintis laluan pendidikan fleksibel untuk rakyat
Gambar Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti
SINTOK, 16 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mengubah landskap pendidikan tinggi negara apabila tampil merintis pendekatan ‘Stackable Degrees’ yang membolehkan rakyat Malaysia mengumpul sijil-sijil pendek menjadi satu kelayakan akademik yang lebih tinggi mengikut kesesuaian masa mereka.
Inisiatif transformasi ini bermula dengan penganjuran Strategic Engagement Session: Co-Designing Flexible Learning Pathways for Stackable Degrees baru-baru ini, yang menandakan titik tolak kerjasama strategik antara UUM dan NADI Malaysia.

Program anjuran Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) itu telah menghimpunkan wakil pusat-pusat pengajian bersama wakil NADI Malaysia, Hashim Muhammad, Prof. Dr. Mohamad Kasim Abdul Jalil dan Nor Amira Mohamad Ghazali.
Pengarah, UTLC, Prof. Dr. Siti Noor Ismail berkata, melalui kerjasama ini, pendidikan tinggi tidak lagi terikat kepada dewan kuliah konvensional. Individu daripada pelbagai latar belakang kini berpeluang menyusun perjalanan akademik mereka sendiri berdasarkan pengalaman, keperluan kerjaya, dan kemampuan kewangan masing-masing.
Menurutnya, fokus utama perbincangan adalah memperluaskan akses pendidikan melalui Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), mikrokredensial, dan laluan akademik yang responsif terhadap keperluan semasa industri.

Sementara itu, Wakil NADI, Hashim berkata, melalui pendekatan ini, seorang pekerja kilang atau ibu tunggal kini boleh mengambil kursus mikrokredensial sedikit demi sedikit di pusat NADI berhampiran mereka dan akhirnya melayakkan diri menerima diploma atau ijazah dari UUM.
Bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar berkesan, peserta sesi libat urus ini telah menggunakan pendekatan Pemikiran Reka Bentuk (Design Thinking). Menerusi perbincangan tersebut, pelbagai idea kerjasama rentas disiplin telah dinilai bukan sahaja dari sudut kekuatan akademik, tetapi merangkumi kebolehpasaran, kebolehlaksanaan, dan impak langsung kepada ekonomi setempat.
Kerjasama strategik ini dijangka bakal membuka pintu UUM kepada komuniti pembelajaran sepanjang hayat di seluruh pelosok negara melalui infrastruktur Pusat NADI yang sedia ada.

Ia bukan sahaja menjimatkan kos promosi universiti, malah membuka ruang penjanaan pendapatan baharu melalui penawaran kursus, latihan, dan bimbingan APEL yang lebih meluas.
Langkah awal ini mencerminkan komitmen teguh UUM untuk berevolusi daripada sebuah institusi akademik konvensional, kepada sebuah hab ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang dinamik, inklusif, dan berpaksikan masyarakat. – Dr. Idyawati Hussein



