Campus

UUM komited perkasa bakat usahawan pelajar menerusi Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmennya dalam menyokong agenda kerajaan bagi melahirkan graduan yang kompeten dalam bidang inovasi, kreativiti, dan keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, sebagai institusi pengajian tinggi awam yang dinamik, UUM akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak bagi melahirkan “job creators” yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, penglibatan pelajar dalam bidang perniagaan adalah selari dengan usaha universiti untuk memastikan pembangunan bakat pelajar tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

“UUM amat berbangga diberi kepercayaan sebagai hos Zon Utara bagi Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026.

“Saya melihat program ini sebagai platform penting dalam menyemai budaya inovasi dan memperkasa bakat usahawan muda di peringkat nasional,” katanya ketika berucap pada program tersebut di sini, semalam.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 21 April itu telah menarik penyertaan seramai 250 pelajar. Ia merupakan anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM dengan kerjasama Sekretariat PROTÉGÉ, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar menyatakan harapan agar program tersebut menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan usahawan yang lebih menyeluruh di universiti ini.

Beliau menegaskan bahawa CEDI akan terus memperkasa ekosistem keusahawanan di kampus melalui latihan berstruktur yang sistematik, bimbingan mentor daripada pakar industri dan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan pemain industri utama.

“Kami yakin peserta yang berjaya mara ke Fasa 2 akan terus dibimbing sehingga ke peringkat pengkomersialan.

“Matlamat utama kami adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan mahasiswa yang berdaya saing dan berimpak tinggi,” katanya.

Kejayaan penganjuran program ini membuktikan sinergi erat antara PROTÉGÉ, KUSKOP, INSKEN, dan CEDI UUM dalam memacu agenda keusahawanan pelajar ke tahap yang lebih tinggi. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button