UUM komited perkasa pendigitalan, kelestarian dan kesejahteraan warga kampus
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 7 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda transformasi institusi menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memacu kecemerlangan, pendigitalan dan kelestarian kampus.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, universiti komited melaksanakan transformasi menyeluruh bagi memperkasakan kecemerlangan institusi selaras dengan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan yang progresif, berdaya saing dan mampan.

Menurutnya, antara fokus utama yang diberi penekanan ialah transformasi digital, pemerkasaan kelestarian kampus serta pemeliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan universiti, malah mewujudkan persekitaran kampus yang lebih hijau, cekap, selamat dan kondusif untuk seluruh warga UUM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan beberapa inisiatif strategik universiti termasuk Sistem Pengecaman Wajah, penjenamaan semula Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) kepada Inovasi Sinergi Sintok (ISS), serta Kempen Lestari UUM yang menyokong aspirasi penanaman dua juta pokok di Kedah dengan penglibatan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ).
Pada majlis sama, Naib Canselor turut melancarkan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM serta menyampaikan Kad Pelantikan Ketua Zon Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai langkah memperkukuhkan tadbir urus, budaya kerja selamat dan kecemerlangan pengurusan universiti.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Martadha turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Sukan Staf UUM 2026 yang menyaksikan Kontinjen Kenari muncul juara keseluruhan dan kontinjen terbaik selepas meraih 11 pingat emas, lapan pingat perak dan tiga pingat gangsa.
Beliau berkata, penganjuran temasya sukan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan semangat kebersamaan, memupuk gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga universiti.
Sempena program berkenaan, Acara Larian Denai Sukan Staf UUM 2026 bagi kategori tiga dan enam kilometer turut diadakan sebagai usaha menggalakkan budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan staf.
Turut berlangsung ialah Program Penanaman 1000 Pokok sempena Kempen Lestari UUM yang disertai ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), sekali gus menjadi simbol komitmen universiti dalam memperkukuhkan agenda kelestarian kampus serta memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang. – Noor Zafiera Ahmad Idris



