UUM melalui IBS perkukuh jaringan akademik nasional
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Norazlina Abd. Wahab
SINTOK, 25 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Majlis Dekan dan Ketua Jabatan Ekonomi & Kewangan Islam yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM.
Mesyuarat yang menghimpunkan 17 dekan, ketua jabatan dan wakil institusi pengajian tinggi dari seluruh negara ini menjadi platform penting untuk membincangkan perkembangan semasa serta hala tuju pendidikan dan penyelidikan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Antara institusi yang hadir termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muāadzam Shah (UniSHAMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan beberapa institusi lain yang menawarkan program berkaitan.
UUM yang diwakili oleh Dekan IBS, Prof. Dr Selamah Maamor berkata, mesyuarat ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.
Peserta turut membincangkan cabaran yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi dalam memastikan program akademik sentiasa relevan dengan keperluan industri yang semakin dinamik, khususnya dalam era pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha memperkukuhkan kurikulum akademik, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas kerjasama penyelidikan antara universiti, selain menekankan kepentingan menghasilkan graduan yang bukan sahaja mempunyai asas ilmu ekonomi dan kewangan Islam yang kukuh, malah memiliki kemahiran digital, analitikal dan kepimpinan yang diperlukan oleh industri masa kini.
Perbincangan juga menyentuh kepentingan hubungan yang lebih erat antara universiti dan industri bagi memastikan program akademik yang ditawarkan selari dengan kehendak pasaran pekerjaan. Kerjasama dengan institusi kewangan Islam, badan pengawal selia dan pemain industri diyakini mampu membuka lebih banyak peluang latihan, penyelidikan bersama serta pembangunan profesional kepada pelajar dan ahli akademik.

Dr Selamah merakamkan penghargaan kepada semua institusi yang hadir dan menyumbang pandangan sepanjang mesyuarat berlangsung.
“Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen bersama institusi pengajian tinggi untuk terus memperkasakan pendidikan dan penyelidikan ekonomi dan kewangan Islam, selaras dengan keperluan pembangunan negara dan aspirasi Malaysia sebagai antara peneraju global dalam industri kewangan Islam,” katanya.
Mesyuarat berakhir dengan semangat kerjasama yang tinggi serta kesepakatan untuk meneruskan pelbagai inisiatif strategik yang dapat memberi manfaat kepada institusi, industri dan masyarakat pada masa hadapan.
Selain memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi, mesyuarat ini turut menjadi bukti kesungguhan komuniti akademik dalam memastikan bidang ekonomi dan kewangan Islam terus berkembang, kekal relevan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.



