Campus

UUM METERAI MOU DENGAN ASSOCIATION OF INDONESIAN ACCOUNTING LECTURERS (ADAI)

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 15 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Association of Indonesian Accounting Lecturers (ADAI) dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, Khamis lalu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Presiden ADAI, Arfan Ikhsan Lubis; Setiausaha Agung ADAI, Ngatemin dan Ahli Jawatankuasa ADAI, Indra Maipita turut hadir pada majlis tersebut.

Dr. Ahmad Martadha berkata, pemeteraian MoU ini merupakan langkah signifikan dalam memperkukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, menurutnya, perkara ini turut membuka peluang kepada perkongsian ilmu, penyelidikan bersama dan mobiliti pelajar serta pensyarah antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Arfan Ikhsan turut mengucapkan penghargaan atas usaha kedua-dua pihak dalam menjalin kerjasama akademik ini dan menyatakan harapan agar MoU ini dapat memperkukuhkan hubungan profesional dan akademik antara pensyarah dan institusi di Malaysia dan Indonesia.

Kerjasama ini turut membuka ruang kepada promosi program pengajian doktor falsafah (PhD) UUM kepada pensyarah dan ahli akademik di Indonesia, memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani program praktikum di TISSA UUM dan menawarkan keahlian percuma kepada 20 pensyarah TISSA bagi membolehkan mereka terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti profesional serta jaringan akademik.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani MoU antara UUM dan ADAI bagi memperkukuhkan kerjasama akademik antara kedua-dua pihak. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih Politeknik METrO Tasek Gelugor)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button