UUM perkukuh budaya keselamatan kerja menerusi Program OSH-C MADANI
Gambar Ku Ahmad Hafiz Ku Nayan dan Muhammad Haniff Umar Muhamad Tarmizi
SINTOK, 10 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmennya dalam membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pelaksanaan Bengkel Kompetensi Occupational Safety and Health Coordinator (OSHC) anjuran Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Jabatan Canselori selama tiga hari bermula 8 Jun lalu di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen, UUM.

Program tersebut ditawarkan secara percuma kepada staf yang dilantik sebagai OSHC di pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing sebagai sebahagian daripada inisiatif Occupational Safety and Health Coordinator MADANI (OSH-C MADANI) oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui NIOSH Malaysia.
Bengkel selama tiga hari itu dikendalikan oleh Pegawai Kanan NIOSH Malaysia Wilayah Utara, Wan Nahar Wan Mohd Nor bagi membolehkan peserta memperoleh kompetensi sebagai penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan tanpa sebarang kos latihan, sekali gus memperkukuh pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, Program OSH-C MADANI merupakan inisatif UUM dalam memperkukuhkan budaya kerja selamat serta sihat, sekali gus memperkasakan peranan staf akademik dan pentadbiran yang dilantik sebagai OSHC di setiap PTJ untuk meningkatkan pengetahuan serta kecekapan mengurus risiko di tempat kerja secara lebih proaktif dan berkesan.

teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly.
Pada masa sama, ucapan penghargaan disampaikan kepada NIOSH Malaysia atas kerjasama serta tajaan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut dan berharap hubungan strategik berkenaan dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama pada masa hadapan,
Hadir untuk menyampaikan ucaptama, Pengurus NIOSH Malaysia Wilayah Utara, Rosliza Osman yang menyifatkan penganjuran program percuma khas kepada staf UUM itu sebagai tanda penghargaan dan sokongan NIOSH Malaysia terhadap usaha universiti awam memperkasakan modal insan berkualiti.
Menurutnya, program ini memberi peluang kepada peserta menambah ilmu, berkongsi pengalaman dan memahami tanggungjawab sebagai penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sekali gus memperkukuhkan pengetahuan, kompetensi dan amalan keselamatan pekerjaan ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan sejahtera di UUM. – Nurulwajhi Yahaya



