UUM TERIMA DUA PENGHARGAAN KPT SEMPENA PERSIDANGAN PENGURUS SUMBER MANUSIA (HRMC) 2026
Berita dan gambar oleh: Kartini binti Tajul Urus
BANGI, 5 November 2026 – Komitmen berterusan Jabatan Sumber Manusia (JPSM) Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memantapkan tadbir urus bakat dan kecekapan organisasi terus mendapat pengiktirafan apabila universiti menerima dua penghargaan penting daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

UUM antara penerima Sijil Majlis Bersama Jabatan (MBJ) daripada JPA serta Sijil Penghargaan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO) daripada KPT. Sijil-sijil tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim kepada En. Mohd Zulkifli bin Mohd Noor @ Muhammad, Timbalan Pendaftar Menjalankan Fungsi Pendaftar UUM, yang hadir mewakili universiti pada majlis perasmian persidangan berkenaan.
Pengiktirafan tersebut diterima sempena Persidangan Pengurus Sumber Manusia (HRMC) KPT 2026 yang berlangsung pada 4 hingga 5 November 2026 di Bangi Resort Hotel. Persidangan tahunan anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPT ini membawa tema “Memperkasa Sumber Manusia, Melestari Transformasi Pendidikan Tinggi”.

Penghargaan AKPO membuktikan kesungguhan UUM memastikan struktur organisasi dan agihan perjawatannya sentiasa cekap, mematuhi peraturan perjawatan, serta selari dengan pelan strategik universiti. Manakala pengiktirafan MBJ mencerminkan iltizam berterusan pengurusan universiti dalam memelihara kebajikan serta saluran komunikasi dua hala yang harmoni bersama warga kerja.
Menurut KPT, penganjuran HRMC 2026 bertindak sebagai pemboleh daya (enabler) utama kepada Pelan Tindakan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2028 dalam merealisasikan aspirasi “One Higher Education”. Persidangan ini menghimpunkan pengurus sumber manusia dari segenap ekosistem kementerian merangkumi Bahagian-bahagian KPT, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Universiti Awam (UA), serta Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Sepanjang dua hari persidangan, empat (4) orang pegawai JSM UUM telah mengikuti lima sesi pengisian dan perbincangan strategik yang komprehensif termasuk Pengurusan Bakat dan Kesejahteraan: Well-being Index (WBI) dan Talent Opinion Survey Annual Index(TO-SAY), Pengurusan Perkhidmatan dan Pengurusan Gaji dalam Perkhidmatan Awam, Pengurusan Pemangkuan dan Kenaikan Pangkat, Dasar Pembangunan Organisasi serta Taklimat Human Resource Management (HRM) Baharu.
Penyertaan aktif pegawai JSM, UUM serta kejayaan meraih kedua-dua pengiktirafan ini diharap dapat menyuntik semangat baharu dalam menterjemahkan amalan terbaik pengurusan modal insan ke peringkat universiti, sekali gus membina persekitaran kerja yang sejahtera dan berdaya saing selaras dengan moto universiti, Ilmu, Budi, Bakti.



