Campus

UUM terima RM130 juta untuk RMK-13

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 25 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima peruntukan sebanyak RM129.6 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menerusi enam projek yang telah diperakukan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), UUM telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM639.05 juta.

“UUM amat menghargai keyakinan dan sokongan berterusan KPT, dan berikrar untuk terus memanfaatkan peluang serta sumber yang diberi demi melahirkan graduan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Melalui peruntukan tersebut, UUM telah berjaya melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan kemudahan pembelajaran moden, penginapan pelajar yang lebih selesa, dewan kuliah yang dinaik taraf serta kemudahan teknologi digital bagi menyokong transformasi kampus pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Pemantauan Projek Pembangunan Universiti Awam (PPUA) Bil. 3/2025 di Bilik Senat, UUM, pagi tadi.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Yang Berusaha Tuan Haji Ghazali Hizam dengan dihadiri delegasi pegawai kanan KPT serta wakil universiti awam dari seluruh negara.

Sementara itu, Ghazali berkata, mesyuarat ini dilaksanakan secara berkala sebagai sebahagian daripada mekanisme penilaian berterusan KPT.

 

“Ia bertujuan memastikan pelaksanaan projek pembangunan, sama ada fizikal mahupun bukan fizikal, berjalan lancar, mengikut jadual serta mematuhi peruntukan dan piawaian yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, selain menilai tahap kemajuan projek, mesyuarat tersebut juga berfungsi mengenal pasti sebarang isu, cabaran atau kelewatan yang timbul sepanjang pelaksanaan.

“Cadangan tindakan pembetulan dan langkah penyelesaian turut dibincangkan secara kolektif demi menjamin keberkesanan pelaksanaan projek secara menyeluruh,” katanya.

Mesyuarat kali ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan serta mencetuskan idea inovatif demi memperkasa lagi kecemerlangan universiti awam dan sektor pendidikan tinggi negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button