Campus

Vendor dan Jualan Rahmah meriahkan Green Carnival STML

Gambar Sekretariat STML Green Carnival 2026

SINTOK, 29 Julai 2026: Kehadiran pelbagai vendor serta penganjuran Jualan Rahmah berjaya memeriahkan STML Green Carnival sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang berlangsung di Bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Kamarul Irwan Abdul Rahim berkata, program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus ini bukan sahaja menyediakan pelbagai aktiviti menarik, malah memberi manfaat kepada mahasiswa melalui penawaran makanan, minuman dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan.

Menurutnya, antara tarikan utama ialah Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai makanan asas pada harga mampu milik dan inisiatif ini dilihat selari dengan aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup pelajar, sekali gus memastikan mereka dapat menikmati makanan berkualiti tanpa membebankan perbelanjaan harian.

Selain itu, penyertaan vendor durian turut menjadi antara kelainan yang mencuri perhatian pengunjung yang menerima sambutan hangat daripada staf akademik, kakitangan pentadbiran dan pelajar yang tidak melepaskan peluang menikmati raja buah tersebut.

Bagi memenuhi minat generasi muda terhadap aktiviti interaktif, penganjur turut menyediakan perkhidmatan rereuai gambar oleh PixelProject. Vendor tersebut menawarkan promosi istimewa iaitu dua keping jalur foto pada harga hanya RM5. Inisiatif ini memberi peluang kepada pengunjung merakam kenangan sepanjang karnival di samping membantu mempromosikan program secara organik melalui perkongsian di platform media sosial.

Karnival ini turut menghimpunkan pelbagai vendor makanan yang menawarkan hidangan seperti chicken tenders, nasi ayam, nasi kukus ayam berempah, laksa, nasi khao mok, shawarma, daging bakar Danok, ayam gunting serta char kuey teow. Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pencuci mulut termasuk donat susu, donat Krispy Kreme, cheese tart, takoyaki, kek moist, cream puff, buah bersalut coklat, jagung cheese tarik dan quesillo.

Bagi melengkapkan pengalaman pengunjung, pelbagai pilihan minuman turut disediakan oleh vendor seperti Kampung Bendang, Croffee, air balang dan cendol. Selain makanan dan minuman, vendor kraftangan Rumbai turut mengambil bahagian dengan menawarkan hasil seni dan produk kraft yang mendapat perhatian pengunjung.

Secara keseluruhannya, penyertaan pelbagai vendor dan pelaksanaan Jualan Rahmah bukan sahaja berjaya memeriahkan STML Green Carnival, malah memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti dan usahawan tempatan. Penganjuran program seumpama ini turut menyokong usaha meningkatkan kebajikan pelajar, merancakkan aktiviti ekonomi kampus serta mewujudkan suasana kampus yang lebih hidup, inklusif dan kondusif.

Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik berharap inisiatif berimpak tinggi seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform yang menggabungkan elemen kelestarian, kebajikan pelajar, pembangunan keusahawanan serta pengukuhan jaringan komuniti universiti. – Nurul Najihah Mohd Jais

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button