Campus

Yang pergi dirindui, yang hidup mendoakan: Solidariti warga UUM terserlah

Berita dan gambar oleh: Muhammad Syazwan menon

SINTOK, 26 Februari 2026: Suasana penuh hening dan keinsafan menyelubungi Masjid Sultan Badlishah UUM apabila berlangsungnya Majlis Bacaan Yasin & Tahlil Bagi Arwah Staf/Keluarga Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran Pusat Islam UUM dengan kerjasama Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK), Kesatuan Kakitangan (KESKA), Persatuan Akademia (PERSATU), Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PERPATI), Persatuan Wanita (SUTRANITA) dan Persatuan Setiausaha (SETIA).

Program yang diadakan pada Khamis, 26 Februari 2026, bermula seawal jam 8.30 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk di Dapur Pusat Islam.

Aktiviti ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai staf yang terdiri daripada ahli Kesatuan & Persatuan di UUM yang hadir berganding bahu sebagai simbol ukhuwah dan kebersamaan warga universiti.

Majlis bacaan Yasin dan tahlil secara rasmi bermula pada jam 12.45 tengah hari, dipimpin oleh Ustaz Mohd. Jazlan Aidil Mat Jamil, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam & Imam Masjid Sultan Badlishah UUM.

Bacaan doa dan tahlil diadakan sebagai tanda ingatan serta kiriman doa buat arwah staf dan ahli keluarga warga UUM yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan, rahmat serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.

Majlis diteruskan dengan Solat Zuhur berjemaah dan diikuti dengan Solat Hajat memohon kesejahteraan buat seluruh warga UUM umumnya & arwah-arwah khususnya. Seterusnya, bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong telah diedarkan kepada para jemaah sebelum majlis bersurai.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Encik Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad, Timbalan Pendaftar UUM; Encik Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, Pengarah Jabatan Canselori;  Ustaz Hj. Mohd Yusnaidi Md. Sabri, Pengarah Pusat Islam, pegawai-pegawai kanan universiti serta jemaah lelaki dan perempuan yang bersama-sama mengimarahkan program penuh keberkatan ini.

Penganjuran majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam keluarga besar UUM. Kehadiran warga staf membuktikan bahawa hubungan ukhuwah tidak terputus walaupun insan tersayang telah pergi menghadap Ilahi.

“Yang pergi tetap dirindui, yang hidup terus mendoakan.”

Semoga majlis seumpama ini terus menjadi wadah penyatuan hati dan tanda kasih sayang dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button