53 pelajar SQS UUM teruja mengikuti lawatan ke MARDI Sintok
SINTOK, 8 Disember 2024: Seramai 53 orang pelajar kursus SQQSK3103 Reka Bentuk, Uji Kaji dan Analisis dan kursus SQQSK3063 Peningkatan Kualiti Berstatistik telah mengikuti program lawatan sambil belajar ke stesen MARDI, Sintok.
Program lawatan ini merupakan inisiatif Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah dan Dr. Ayu Abdul Rahman, pensyarah kursus berkenaan yang mahu memberi pendedahan kepada pelajar akan penggunaan teknik statistik yang mereka pelajari di kelas ke dalam bidang pertanian khususnya.
Sesi lawatan bermula dengan pengenalan kepada operasi stesen MARDI, Sintok oleh Ketua Stesen, Salehudin Md Radzuan.
Sebagai sebuah pusat kecemerlangan untuk penyelidikan berkaitan buah-buahan tropika, pemilihan MARDI Sintok sebagai tempat untuk peserta program memahami proses sesuatu uji kaji itu dijalankan dan pemantauan kualiti dilaksanakan adalah sangat bertepatan kerana hampir keseluruhan proses uji kaji di sini menggunakan teknik yang dipelajari di dalam kelas.
Pelajar sangat teruja menaiki trem apabila dibawa melawat sebahagian ladang berkeluasan 346 hektar yang menjadi tempat penyelidikan dilaksanakan. Melalui kawasan tanaman mangga dengan varian baharu, menyelusuri kebun jagung, ubi kayu dan sebagainya, pelajar akhirnya dibawa ke tapak penyelidikan rockmelon sebelum berangkat pulang ke UUM.
Sesungguhnya program lawatan sebegini sangat bermanfaat kepada pelajar dan diharap dapat memberi nilai tambah untuk mencapai objektif pembelajaran.