BAHTERADAYA 2024: Memperkasa bahasa dan sastera dalam era digital
Gambar SLCP
SINTOK, 18 November 2024: Seminar Bahasa, Sastera dan Budaya III (BAHTERADAYA) 2024 dengan tema “Kemanusiaan Digital” yang diadakan pada 12 November lalu berjaya menghimpunkan seramai 30 pembentang dari seluruh Malaysia.
Seminar ini dianjurkan oleh Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.
Majlis perasmian seminar ini disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SLCP UUM, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail di mana dalam ucapannya menekankan kepentingan memelihara nilai-nilai kemanusiaan dalam konteks dunia digital yang pesat berubah.
Menurutnya, era digital membawa cabaran baharu kepada bahasa dan sastera, namun juga menawarkan peluang untuk kita mengembangkan warisan budaya dan nilai kemanusiaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Seminar ini turut menampilkan tiga ucaptama yang disampaikan oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara iaitu Prof. Madya Dr. Rohaya Md. Ali dari Universiti Utara Malaysia (UUM) membentangkan tajuk Eksplorasi Kecerdasan Buatan (A.I.) dalam Novel Futuristik Malaysia; Prof. Madya Dr. Mashetoh Abd. Mutalib juga dari UUM berkongsi tentang Antropomorfisme sebagai Penanda Komunikasi dalam Media Baharu dan Dr. Aidil Syah Putra dari Universitas Muhammadiyah Tangerang, Indonesia membincangkan tajuk Peranan Perkembangan Digital dalam Bahasa, Sastera dan Budaya.
Ketiga-tiga ucaptama ini memberikan pandangan yang mendalam tentang bagaimana kemanusiaan, bahasa, dan sastera dapat terus diperkasakan dalam konteks digital yang serba moden.
Penganjuran BAHTERADAYA 2024 telah berjaya menyediakan platform yang bermakna untuk pertukaran idea dan perbincangan ilmiah, serta mengukuhkan jalinan kerjasama antara ahli akademik dan pelajar dalam memartabatkan bahasa, sastera, dan budaya dalam era digital.
Dengan tema “Kemanusiaan Digital,” seminar ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada penyelidik dan penggiat seni untuk terus memperkasa nilai kemanusiaan dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid