Banjir tidak halang kolaborasi, UUMKL jadi platform alternatif
Berita dan gambar Nur Afiqah Abu Bakar
KUALA LUMPUR, 27 November 2025: Biarpun kawasan di sekitar kampus induk Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dilanda banjir, usaha menjalin kerjasama antarabangsa tetap diteruskan apabila Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) tampil sebagai platform alternatif bagi menyambut delegasi dari Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Airlangga, Indonesia.
Lawatan akademik yang sepatutnya diadakan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM telah dipindahkan ke UUMKL bagi memastikan program berjalan lancar seperti dirancang.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Dr. Norlena Hasnan yang menjalankan fungsi sebagai Ketua Kampus UUMKL.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan keprihatinan terhadap situasi banjir yang melanda dan menyambut baik kehadiran delegasi Universitas Airlangga di Kampus Kuala Lumpur.
“Walaupun kami tahu delegasi sepatutnya berada di Sintok hari ini, kami di UUMKL amat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah.
“Ini adalah salah satu komitmen universiti untuk memastikan semangat kerjasama dan pertukaran ilmu tidak terjejas walau dalam keadaan tidak diduga,” katanya.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie pula menzahirkan harapan agar pertemuan ini mampu membuka ruang kolaborasi akademik yang kukuh, khususnya dalam bidang bahasa dan sastera.
Wakil Delegasi Universitas Airlangga, Rima Firdaus, juga sempat berkongsi idea dan pandangan melalui syarahan akademik bertajuk “Horror Literature: Demystification Nusantara Ghost Stories in Intan Paramaditha Literary Works”.
Dalam syarahannya, beliau menjelaskan bagaimana karya Intan Paramaditha menggunakan elemen seram bukan semata-mata untuk menakutkan, tetapi sebagai metafora sosial dan simbol pemberontakan terhadap norma budaya.
Program diteruskan dengan sesi diskusi ilmiah bersama Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, SLCP secara dalam talian yang membincangkan potensi kerjasama dalam bidang bahasa dan sastera serantau.
Tindakan UUMKL dan SLCP membuktikan komitmen universiti dalam menyokong jaringan kerjasama serantau walau berdepan cabaran tidak dijangka. Delegasi Universitas Airlangga turut menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra dan fasiliti yang disediakan.



