Bengkel Pengurusan Penerbitan UUM Press perkukuh dasar dan kualiti penerbitan universiti
Gambar Nur Syahirah Mohd Fuzi dan Zuraizee Zulkifli
PULAU PINANG, 20 Julai 2026: UUM Press telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Penerbitan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 12 hingga 14 Julai lalu di Bahang Bay Hotel dengan penyertaan semua ketua pengarang, editor urusan dan ahli sidang pengarang jurnal UUM serta pegawai-pegawai UUM Press.

Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, bengkel ini bertujuan menyemak dan menambah baik Dasar Penerbitan Universiti serta memperkukuh garis panduan penerbitan jurnal dan buku.
Menurutnya, mereka juga turut membincangkan tentang strategi meningkatkan kualiti jurnal, pengukuhan indeksasi dalam Scopus, Web of Science (WoS) dan MyCite, serta pemantapan pengurusan editorial dan proses penilaian manuskrip.
Turut menyertai bengkel ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jafri Saad yang menekankan keperluan menggubal satu dasar penerbitan yang komprehensif merangkumi buku, jurnal dan penulis bagi memastikan tadbir urus penerbitan yang lebih tersusun serta melindungi kepentingan universiti dan penulis.

Beliau turut menyentuh kepentingan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika, pengurusan conflict of interest, peningkatan impak penerbitan bagi menyokong agenda pengantarabangsaan universiti, kelestarian kewangan dan tadbir urus penerbitan, serta pembangunan bakat staf dan pelajar dalam bidang penulisan dan penerbitan ilmiah.
Sepanjang bengkel, peserta turut berkongsi pengalaman, membincangkan cabaran semasa serta merangka cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh ekosistem penerbitan universiti.
Hasil perbincangan dijangka menjadi asas kepada penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan pelaksanaan strategi penerbitan yang mampu meningkatkan reputasi serta keterlihatan UUM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan UUM Press dalam memperkasakan ekosistem penerbitan ilmiah universiti melalui tadbir urus yang mantap, penerbitan berkualiti tinggi dan pembangunan modal insan, selaras dengan aspirasi UUM untuk menjadi institusi yang cemerlang dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan inovasi.
Hadir sama, Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat yang berkongsi pandangan mengenai hala tuju penerbitan ilmiah UUM. – Fadhlina Md Pudzi dan Nur Atikah Zulkifli



