Bengkel Penulisan Artikel Berimpak Tinggi perkasa penerbitan dan sitasi UUM
Gambar Suhailawati Mohd. Shamsudin
JERAI, 12 Julai 2026: Seramai 15 penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih menyertai Bengkel Penulisan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi yang dianjurkan secara bersama oleh UUM Press dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) di Jerai Hill Resort dari 30 Jun hingga 2 Julai lalu.

Penganjuran bengkel selama tiga hari ini merupakan inisiatif strategik universiti bagi memperkasakan budaya penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus dan Web of Science (WoS), sekali gus meningkatkan kualiti penyelidikan, bilangan penerbitan berimpak tinggi serta kadar sitasi dalam kalangan warga akademik UUM.
Bengkel ini menyasarkan penyertaan daripada penyelidik dengan geran aktif Dana Penyelidikan KPT bagi memastikan output penerbitan berjaya dicapai.
Sepanjang bengkel, peserta dibimbing oleh ketua-ketua pengarang jurnal UUM yang berindeks Scopus melalui sesi perkongsian mengenai landskap penerbitan jurnal berimpak tinggi, anatomi manuskrip, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan akademik, teknik penyediaan manuskrip, klinik penulisan serta proses penghantaran artikel ke jurnal.
Program ini turut memanfaatkan kekuatan enam jurnal UUM yang berindeks Scopus sebagai platform penerbitan bagi membantu penyelidik memenuhi sasaran penerbitan penyelidikan, khususnya penerima geran penyelidikan.

Pengarah RMC, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain berkata, bengkel tersebut merupakan antara usaha berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan penerbitan berkualiti tinggi.
“Peningkatan bilangan penerbitan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya UUM turut memberi penekanan kepada penghasilan artikel yang berkualiti dan berimpak tinggi sehingga mampu meningkatkan sitasi penyelidik serta reputasi universiti di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama strategik antara RMC dan UUM Press ini diharap dapat membantu lebih ramai penyelidik menghasilkan penerbitan dalam jurnal berindeks Scopus dan WoS sekali gus menyumbang kepada pencapaian KPI penyelidikan universiti,” katanya.
Beliau turut berharap bengkel berbentuk bimbingan intensif ini dapat meningkatkan keyakinan peserta dalam menyediakan manuskrip berkualiti serta mempercepatkan proses penerbitan artikel di jurnal berimpak tinggi.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan kecemerlangan penyelidikan, memperluaskan impak hasil penyelidikan kepada komuniti akademik global serta mempertingkatkan kedudukan universiti melalui peningkatan penerbitan dan sitasi.
Turut berkongsi pengalaman dalam bengkel ini ialah bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Perancangan Korporat (BPPK), Prof. Madya Dr. Mazni Omar yang memberi pendedahan kepada peserta tentang landskap penerbitan artikel berindeks Scopus/WoS dalam kalangan pensyarah di universiti ini. – Prof. Madya Dr. Husniza Husni



