Education

Bengkel Persediaan Pensijilan AUN-QA dan AACSB perkukuh komitmen kecemerlangan akademik UUM

Gambar Iffah Zarreen Ahmad Subri

LANGKAWI, 5 Ogos 2025: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Persediaan Pensijilan AUN-QA dan AACSB selama tiga hari pada 31 Julai lalu di Best Star Resort, Pantai Cenang.

Pengarah PPQA, Prof. Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, program intensif ini menghimpunkan warga kerja PPQA bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi dua proses pensijilan berprestij antarabangsa iaitu ASEAN University Network Quality Assurance (AUN-QA) pada 2026 dan Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) pada 2027.

Pensijilan semula AUN-QA melibatkan tiga program iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (SCIMPA), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan (SOG), Program Ijazah Sarjana Sains (Sains Koreksional) (SAPSP) di peringkat antarabangsa.

Pemantauan kualiti daripada AUN yang melakukan pengukuran secara sistematik, berstruktur, menyeluruh dan berkesinambungan akan menetapkan penanda aras amalan terbaik UUM di peringkat ASEAN mahupun luar ASEAN.

Timbalan Pengarah Bahagian Akreditasi Antarabangsa (IAD), Prof. Dr. Natrah Saad telah berkongsi tentang AUN-QA dan AACSB sepanjang bengkel berlangsung, Prof. Madya Dr. Hafizah Abd Mutalib menerangkan tentang strategi penyediaan Self-Assessment Report (SAR) bagi AUN-QA 2026, manakala, Prof. Madya Dr. Norani Nordin selaku Pengurus IAD menerangkan perancangan dan gerak kerja CIR dan lawatan PRT AACSB yang akan dilaksanakan pada 2027.

Bengkel ini turut memberi penekanan kepada perancangan aktiviti tahun 2026 mengikut tiga bahagian utama di PPQA, iaitu Bahagian Pentadbiran dan Jaringan, Bahagian Pengurusan Kualiti, serta Bahagian Akreditasi Antarabangsa. Selain pengisian bersifat ilmiah, aktiviti team building turut dilaksanakan bagi memperkukuh semangat kerjasama dan membudayakan amalan kerja berpasukan dalam kalangan warga PPQA.

Dr. Mohd Haniff berharap agar seluruh warga UUM dapat terus memberikan komitmen dan kerjasama padu dalam usaha mengekalkan pensijilan AUN-QA pada 2026 serta mencapai pensijilan AACSB pada 2027.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa, tetapi juga cerminan kepada kecemerlangan berterusan dalam kualiti akademik UUM.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan tahap kefahaman warga kerja PPQA terhadap keperluan pensijilan semula AUN-QA dan AACSB, di samping merangka pelan tindakan strategik yang mampan bagi memperkukuh kecemerlangan akademik UUM di peringkat antarabangsa. – Wan Yusnita Megat Saad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button