Education

Bengkel Strategik UUM COB 2026 perkukuh sinergi kepimpinan dan perancangan masa hadapan

Gambar Muhamad Syazwi Sholihin

ALOR SETAR, 12 Mac 2026: UUM COB, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik Pengurusan Tertinggi UUM COB 2026 semalam di Raia Hotel & Convention Centre.

Bengkel ini menghimpunkan seramai 68 orang barisan kepimpinan pusat pengajian UUM COB yang terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan, Pengerusi Program serta Penolong Pendaftar dari setiap pusat pengajian termasuk Akademi Golf Nasional.

Sebahagian peserta merupakan penjawat baharu yang baru dilantik. Justeru, bengkel ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuhkan jaringan profesional serta membina hubungan kerja yang lebih erat dalam kalangan kepimpinan UUM COB.

Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, penganjuran bengkel ini bertujuan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan pengurusan tertinggi pusat pengajian.

Menurutnya, melalui bengkel ini, semua pihak diharap dapat bekerjasama secara lebih erat dalam menggerakkan UUM COB ke arah pencapaian pelan strategik yang telah ditetapkan, di samping mengenal pasti kekuatan serta kelemahan strategi sedia ada.

Pelaksanaan bengkel dijalankan melalui perbincangan berkumpulan mengikut portfolio, di mana peserta meneliti pencapaian pelan strategik bagi tahun 2024 dan 2025 serta mengenal pasti teras strategik yang masih belum mencapai sasaran.

Setiap kumpulan turut merangka strategi penambahbaikan dan mencadangkan pendekatan yang lebih berkesan bagi memastikan sasaran strategik dapat dicapai, termasuk perancangan aktiviti utama UUM COB seperti UUM COB Week dan UUM COB Talk sepanjang tahun.

Bengkel ini turut menampilkan pembentangan oleh Pengarah Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat UUM, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf yang mengupas analisis pencapaian UUM COB mengikut pusat pengajian bagi tempoh dua tahun lalu serta berkongsi hala tuju strategik universiti bagi tahun 2026.

Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkukuhkan kesepaduan kepimpinan, menyelaras strategi serta meningkatkan keupayaan UUM COB untuk terus kekal relevan, berdaya saing dan mencapai sasaran pelan strategiknya. – Nur Hazlina Ghazali

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button