Education

BHEUU, JPM kongsi reformasi undang-undang dan aspirasi Malaysia Madani di UUMILC 2025

Berita dan gambar Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani

SINTOK, 28 Oktober 2025: Reformasi undang-undang yang berpaksikan nilai kemanusiaan dan prinsip Malaysia MADANI menjadi tumpuan dalam Sesi Pleno Pertama sempena The 13th UUM International Legal Conference 2025 (UUMILC 2025) yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sesi pleno bertajuk “Law Reform and the MADANI Aspirations: Building a Just and Inclusive Malaysia” disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-undang), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Thiyagu Ganesan.

Beliau menekankan bahawa setiap agenda pembaharuan undang-undang yang sedang dijalankan oleh kerajaan berteraskan prinsip Malaysia MADANI — Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan.

Menurutnya, pembaharuan undang-undang bukan sekadar langkah teknikal tetapi mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan, akauntabiliti dan kemanusiaan.

“Melalui prinsip MADANI, reformasi undang-undang dilaksanakan untuk memperkukuh tadbir urus berintegriti, melindungi hak asasi, memperluas inovasi dalam sistem keadilan, serta memastikan undang-undang negara kekal inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya.

Antara inisiatif penting yang dikongsi ialah pemansuhan hukuman mati mandatori, penggubalan Abolition of Mandatory Death Penalty Act 2023, pindaan kepada Penal Code yang memperkenalkan kesalahan stalking, penyahkriminalan cubaan bunuh diri, serta pindaan Insolvency Act 2023 yang memberi peluang kedua kepada individu muflis.

Selain itu, reformasi turut melibatkan SUHAKAM (Amendment) Act 2023, Whistleblower Act 2010, dan pelaksanaan National Action Plan on Business and Human Rights (NAPBHR) 2025–2030 yang menyepadukan hak asasi manusia dalam tadbir urus korporat.

Thiyagu turut menjelaskan pelaksanaan beberapa rang undang-undang baharu seperti Online Safety Act 2025, Legal Aid and Public Defence Act 2025, dan Cross Border Insolvency Act 2025, yang menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh sistem keadilan serta memastikan akses kepada undang-undang lebih luas dan adil.

Beliau menegaskan bahawa pembaharuan undang-undang di Malaysia kini digerakkan melalui pendekatan berasaskan bukti dan libat urus awam bagi memastikan setiap dasar dan pindaan mencerminkan suara rakyat.

“Masyarakat yang adil ialah masyarakat yang dibina melalui reformasi yang inklusif dan berpaksikan rakyat,” katanya.

Sesi pleno ini turut menarik minat ramai peserta antarabangsa, ahli akademik dan pelajar undang-undang yang melihat reformasi undang-undang sebagai asas kepada pembinaan negara berteraskan integriti, keadilan sosial dan kesejahteraan sejagat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button