Education

CEDI teroka potensi kolaborasi keusahawanan sosial bersama universiti antarabangsa Afrika dan Malaysia

Gambar oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI)

Sintok, 17 Disember 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kampala International University (KIU), Uganda dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang pembangunan keusahawanan, inovasi dan keusahawanan sosial.

Sesi kunjungan hormat ini telah diselaras melalui jaringan rakan strategik CEDI iaitu Albukhary International University (AIU), Malaysia menerusi Profesor Madya Dr. Suraya Hanim Mokhtar, Pengarah AIU Centre of Excellence in Socio-Economic Development and Innovation (ACE-SEDI).

Delegasi KIU yang hadir diketuai oleh Prof. Regina Ejemot Nwadiaro, Deputy Vice-Chancellor (Research, Innovation, Consultancy, and Extension – RICE), bersama Puan Christine Ainebyoona, Pentadbir Kampus Utama, serta Prof. Abanis Turyahebwa dari KIU Cawangan Tanzania.

Turut menyertai kunjungan ini ialah delegasi AIU yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Suraya Hanim Mokhtar dan Encik Masrani Awang, Eksekutif ACE-SEDI.

Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Dr. Juhaida Abu Bakar, Menjalankan Tugas Pengarah Eksekutif CEDI, bersama pegawai dan staf CEDI. Sesi bermula dengan lawatan ke Anjung Tamu bagi meninjau fasiliti inkubator perniagaan Campus Brew, yang merupakan antara produk daripada ekosistem RICES UUM.

Lawatan ini bertujuan memperkenalkan pendekatan keusahawanan berasaskan pengalaman sebenar yang memberi peluang kepada pelajar UUM untuk mempelajari dan mengendalikan perniagaan dalam persekitaran yang menyerupai dunia industri sebenar.

Delegasi seterusnya dibawa melawat beberapa fasiliti utama kampus UUM termasuk Kelab Golf Sultan Sallehuddin, Kompleks Sukan, Kandang Rusa serta kawasan tarikan landskap dan rekreasi universiti. Lawatan ini memberi gambaran menyeluruh tentang persekitaran kampus yang holistik dan kondusif, selari dengan aspirasi UUM dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kebolehpasaran.

Sesi diteruskan dengan perbincangan rasmi di pejabat CEDI yang memfokuskan kepada potensi kolaborasi strategik antara CEDI UUM, KIU dan AIU, khususnya dalam aspek pembangunan keusahawanan pelajar dan keusahawanan sosial.

Antara agenda utama perbincangan ialah penerokaan konsep “3 Zero” yang merangkumi sifar kemiskinan, sifar pengangguran dan sifar pelepasan karbon bersih, iaitu satu kerangka ekonomi baharu yang diasaskan oleh Muhammad Yunus, penerima Hadiah Keamanan Nobel dan pengasas Grameen Bank. Konsep ini menekankan peranan keusahawanan sosial sebagai mekanisme penyelesaian kepada isu ketidaksamaan ekonomi, pengangguran dan krisis alam sekitar secara mampan.

Perbincangan turut menekankan bahawa konsep 3 Zero telah berkembang secara kukuh dan sistematik di AIU serta KIU melalui penubuhan pusat kecemerlangan, kelab pelajar dan program inkubasi perniagaan sosial yang berstruktur.

Di AIU khususnya, pendekatan 3 Zero telah diterjemahkan melalui pelaksanaan kelab 3 Zero dan program inkubasi keusahawanan sosial yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam membangunkan penyelesaian berimpak tinggi untuk komuniti, sekali gus menjadikan AIU sebagai antara rujukan institusi pendidikan tinggi dalam pelaksanaan agenda keusahawanan sosial berteraskan 3 Zero di peringkat antarabangsa.

KIU pula dilihat sebagai rakan strategik berpotensi untuk memperluaskan pelaksanaan konsep ini di rantau Afrika melalui jaringan akademik dan komuniti setempat.

Seiring dengan perkembangan tersebut, CEDI menyatakan hasrat untuk mewujudkan Kelab 3 Zero di UUM sebagai platform strategik bagi memperkasa agenda keusahawanan sosial dalam kalangan pelajar, selari dengan aspirasi pembangunan lestari universiti dan Matlamat Pembangunan Mampan.

Sesi kunjungan hormat ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata serta sesi bergambar, melambangkan komitmen bersama ke arah kerjasama antarabangsa yang berterusan dan berimpak tinggi pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button