CEO MQA beri inspirasi demi perkasa kepimpinan warga IBS
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
LANGKAWI, 14 Julai 2025: Sempena Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju IBS yang dianjurkan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), satu slot kepimpinan penuh inspirasi telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, bertajuk “The Future of Higher Education Landscape”.
Ceramah tersebut diadakan di Dewan De Baron 6, Langkawi dihadiri oleh 52 peserta bengkel yang terdiri daripada barisan pengurusan, pensyarah, kakitangan pentadbiran IBS.
Dekan IBS, Prof. Madya. Dr. Selamah Maamor dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa kehadiran tokoh penting seperti Dr. Shatar adalah satu peluang keemasan untuk warga IBS mendapatkan bimbingan secara terus daripada insan berpengalaman sebagai persediaan mendepani cabaran mengendalikan institusi pendidikan tinggi, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat global.
“Manfaatkan peluang ini untuk bertanya segala tips atau idea kepada tetamu istimewa kita ini, mari sama-sama kita menadah ilmu daripada Dato’ yang berpengalaman luas dalam menerajui institusi pengajian tinggi,” katanya.
Dalam ceramah yang bersifat interaktif dan penuh inspirasi itu, Dr. Shatar menekankan betapa pentingnya perubahan corak pemikiran, sikap profesional, serta strategi pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan institusi pengajian tinggi terus relevan dalam menghadapi cabaran global.
Beliau turut mengajak pensyarah untuk keluar daripada zon selesa dan berani mencabar norma tradisional demi menghasilkan impak lebih besar terhadap pembangunan pelajar dan masyarakat.
“Kita tidak boleh kekal pada pendekatan lama dan hanya bertindak bila disuruh. Transformasi sebenar bermula dari dalam diri, dari niat yang betul, usaha yang konsisten dan budaya kerja yang proaktif,” katanya.
Melalui beberapa aktiviti simbolik seperti lukisan pemandangan kampung dan lembu dalam kotak, beliau menzahirkan mesej penting tentang kekangan pemikiran tradisional dan keperluan untuk membina pemikiran kreatif, strategik dan inovatif dalam kalangan ahli akademik.
Selain menyentuh aspek polisi dan sistem, ceramah ini juga mengetengahkan peranan pensyarah sebagai agen perubahan.
Menurutnya, kualiti penyampaian, karisma, dan daya tarikan seorang pendidik merupakan faktor penting yang mampu membentuk pengalaman pembelajaran pelajar.
Beliau turut menggesa agar pensyarah sentiasa mempertingkat kemahiran komunikasi dan keberkesanan pengajaran agar kuliah menjadi sesuatu yang dinantikan oleh pelajar.
Perkongsian Dr. Shatar sangat mengujakan sehinggakan tagline seperti ‘Why Bother.. Why Bother..’, ‘Show and Tell’, ‘Ada aku kisah’ juga konsep ‘Tradisional, Rational, Jujur dan Crazy’ menjadi bualan dan usikan warga IBS.
Menurut salah seorang peserta bengkel, Dr. Nor Aina Mhd Khotib, sesi perkongsian tersebut melekat dihati dan mudah dihadam dengan penyampaian santai beliau.
”Warga IBS juga tidak melepaskan peluang untuk memiliki buku karangan Prof. Dato’ Dr. Shatar bertajuk ‘Anak Kampung Melakar Sejarah’ yang mencerakinkan pengalaman penuh inspirasi beliau seawal usia kanak-kanak hingga berjaya kini.
Melalui sesi ini, warga IBS bertekad untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dalam menjadikan UUM sebuah universiti yang mampu merealisasikan hasrat menjadi “Harvard of the East” dengan memperkukuh budaya inovasi, profesionalisme dan kecemerlangan akademik. – Nadiah Abdul Lateb