Education

CeTMA semai literasi kewangan kanak-kanak melalui pertandingan mewarna

Berita dan gambar Nabila Ayuni Saiful Bahari

LANGKAWI, 6 Ogos 2026: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Pertandingan Mewarna “Si Cilik Bijak Kewangan” sebagai salah satu pengisian Program Jalinan Kasih Siswa Inapan Siswa (Inasis) TNB (JAKSIN) di Dewan Teluk Bujur, Kampung Pulau Tuba, Langkawi.

Program ini merupakan sebahagian daripada jalinan kerjasama CeTMA sebagai Sekretariat dan Rakan Kerjasama Rasmi bagi Program JAKSIN yang berlangsung dari 29 hingga 31 Julai lalu.

Pertandingan yang disertai oleh 35 kanak-kanak prasekolah berusia empat hingga enam tahun ini bertujuan memperkenalkan konsep asas pengurusan kewangan seperti amalan menabung, berjimat cermat dan membuat pilihan yang bijak melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, santai dan menyeronokkan.

Melalui aktiviti mewarna, para peserta didedahkan kepada nilai-nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab dan menghargai wang sejak usia awal, sekali gus menyemai budaya celik kewangan dalam kalangan generasi muda.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof berkata, pendidikan kewangan perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak kerana nilai dan tabiat yang dibentuk pada peringkat awal mampu menjadi asas kepada pembentukan generasi yang lebih bertanggungjawab dalam mengurus kewangan pada masa hadapan.

“Pendidikan kewangan tidak semestinya bermula di dalam bilik darjah. Melalui pendekatan yang kreatif dan menyeronokkan seperti pertandingan mewarna, kanak-kanak dapat diperkenalkan kepada konsep asas seperti menabung, berjimat cermat dan membuat pilihan yang bijak.

“CeTMA komited untuk terus memperluaskan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan sejak usia muda,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penglibatan CeTMA sebagai Sekretariat dan Rakan Kerjasama Program JAKSIN membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui pemindahan ilmu, pendidikan serta aktiviti tanggungjawab sosial universiti (USR).

Selain mencungkil bakat dan kreativiti peserta, pertandingan ini turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam menyokong proses pembelajaran anak-anak.

Penganjur berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform memperkukuh literasi kewangan, di samping melahirkan generasi yang lebih berilmu, berhemat dan bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan mereka pada masa hadapan.​

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button