CSAM UUM perkukuh reputasi global melalui inovasi berimpak tinggi di ICIIC 2026
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim
SINTOK, 15 Februari 2026: Kumpulan penyelidikan Computational Statistics and Applied Mathematics (CSAM), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila meraih satu pingat emas dan dua pingat gangsa dalam International Creative Innovation Idea Competition (ICIIC) 2026.

Pertandingan berprestij anjuran MNNF Network itu menghimpunkan 551 projek inovasi dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei dengan setiap penyertaan dinilai secara bebas oleh dua juri daripada keseluruhan 168 panel pakar pelbagai institusi ternama.
Pingat emas ini telah dianugerahkan kepada projek bertajuk “Real-Time YOLOv5m-Based Onshore Plastic Waste Detection” oleh Samsul Ariffin Abdul Karim, Owen Tamin, Hashibah Hamid dan Rohaiza Zakaria.
Inovasi ini memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan dan ‘computer vision’ bagi pengesanan sisa plastik secara masa nyata di kawasan daratan, menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta pengurusan sisa yang lebih efisien.
Sementara dua pingat gangsa telah dimenangi melalui projek “Delaunay Triangulation Refinement using Machine Learning for Scattered Data Interpolation” oleh Samsul Ariffin Abdul Karim, Owen Tamin, Nor Hazlyna Harun dan Kamarun Hizam Mansor.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penyelidikan yang dibiayai di bawah Geran Penjanaan Universiti Utara Malaysia [22139] bertajuk “A Machine Learning-Based Scattered Data Interpolation for Image Enhancement”. Penyelidikan ini menumpukan kepada pembangunan kaedah interpolasi data tersebar berasaskan pembelajaran mesin bagi meningkatkan ketepatan pemodelan dan kualiti penambahbaikan imej, khususnya dalam aplikasi pemprosesan imej dan analisis berangka lanjutan.
Pingat gangsa kedua dimenangi melalui tajuk “Redesigning Linear Algebra Pedagogy through Learning Style-Based Innovation” oleh Samsul Ariffin Abdul Karim, Rahela Abdul Rahim, Nursyazwani Mohamad Noor, Owen Tamin dan Queencie Dohny.
Projek ini mengetengahkan inovasi pedagogi berasaskan gaya pembelajaran bagi memperkukuh pemahaman konsep Linear Algebra secara lebih sistematik dan inklusif.
Ketua Penyelidik bagi ketiga-tiga projek ialah Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim yang juga merupakan Ketua CSAM.

Menurutnya, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan CSAM dalam mengintegrasikan teori matematik, statistik, analitik data dan kecerdasan buatan ke arah penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi.
“Kejayaan ini selaras dengan aspirasi strategik CSAM untuk berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) yang menjadi rakan pilihan dan dipercayai dalam bidang Data, Models, and Solutions.
“Melalui pengukuhan kepakaran dalam statistik pengiraan, pemodelan matematik dan kecerdasan buatan, CSAM beriltizam untuk terus memacu inovasi, memperluas kolaborasi industri serta menyumbang kepada penyelesaian berasaskan bukti yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Pencapaian ini sekali gus memperkukuhkan reputasi Universiti Utara Malaysia sebagai institusi yang konsisten dalam melahirkan penyelidikan inovatif bertaraf antarabangsa serta berimpak tinggi.



