Education

CUIC buka lembaran baru teroka peluang perkukuh ekosistem berasaskan teknologi digital

Gambar CUIC

SERDANG, 21 Januari 2025: Ditubuhkan pada 2022, Advanced Manufacturing & Robotics Center of Excellence (AMRACE) merupakan sebuah pusat kecemerlangan yang berfungsi dalam memperkasakan perniagaan melalui model perniagaan inovatif, teknologi digital, dan kecemerlangan operasi.

Beroperasi dari Pusat Teknologi UPM-MTDC di Serdang, Selangor, AMRACE menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk perundingan, latihan bakat, teknologi pembuatan, serta program pembangunan kepimpinan dan peribadi.

Mengambil peluang memperkukuhkan kerjasama sedia ada bersama AMRACE, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kerja sehari bagi membincangkan peluang kerjasama baru.

Kedatangan delegasi UUM disambut Ketua Pegawai Eksekutif AMRACE, Naguib Mohd Nor.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, kerjasama ini dijangka akan memperkukuhkan ekosistem berasaskan teknologi digital sekaligus memanfaatkan kepakaran AMRACE dalam teknologi pembuatan terkini dan pengalaman luas dalam transformasi industri.

Menurutnya, lawatan ini turut memberi tumpuan kepada bidang teknologi semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan cabaran masa depan dalam pasaran kerja.

Katanya, melalui inisiatif ini, CUIC dan AMRACE berhasrat untuk memacu pertumbuhan industri tempatan, meningkatkan daya saing global, dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Leveraging Semiconductor Technology, Chip Packaging, Investment in Data Storage, AI Impact on Education and Productivity, Job Market Disruption – AI-Related antara menjadi topik perbincangan pada sesi ini.

“Selain itu, lawatan kerja kali ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan meneroka potensi kerjasama strategik berkaitan dengan projek Kedah Aerotropolis, yang bakal menjadi hab industri aeroangkasa utama di rantau ini,” katanya.

Lawatan ini juga bertujuan memahami peranan teknologi canggih dan kepakaran dalam bidang aeroangkasa yang ditawarkan oleh AMRACE untuk menyokong pembangunan projek tersebut.

Kolaborasi ini diharapkan akan memacu agenda transformasi digital, inovasi teknologi, dan inisiatif lestari untuk manfaat bersama antara universiti dan industri serta dapat memberikan impak positif terhadap pembangunan pelajar, penyelidikan universiti, dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Turut serta, Timbalan Pengarah Jaringan Industri CUIC, Dr. Normalisa Md Isa. – Siti Nazirah Jaya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button