Education

Dari Idea ke Realiti: Murid Bangunkan Sistem Siram Pintar Solo untuk Pertanian Bandar

Gambar Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman

JITRA, 26 Februari 2026: Kreativiti dan semangat inovasi dalam kalangan murid terus menyerlah apabila sebuah projek berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berjaya direalisasikan menerusi pembangunan sistem penyiraman automatik yang dikenali sebagai Siram Pintar Solo bagi menyokong pertanian bandar.

Projek ini dilaksanakan sempena sesi kedua Program SMART AGRO STEM di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2 melibatkan seramai 52 pelajar Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau.

Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh kumpulan saintis UUM yang diketuai oleh Rohaiza Zakaria bersama barisan saintis akademik, Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman, Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim dan Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim yang berpengalaman dalam pendidikan STEM dan pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah.

Kejayaan pelaksanaan program ini turut dibantu oleh fasilitator, Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, Ahmad Firdaus Ujut dan Mohamad Amirul Aniq Mohd Hadapi.

Rohaiza berkata, idea Siram Pintar Solo ini tercetus daripada pemerhatian terhadap masalah penyiraman tidak konsisten di kebanyakan kebun.

Sehubungan itu, menurutnya, projek ini bermula dengan persoalan mudah iaitu bagaimana memastikan tanaman menerima air yang mencukupi tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penyiraman manual, justeru inisiatif membangunkan sistem yang mampu menyiram tanaman secara automatik diperkenalkan dan dilaksanakan bersama murid.

Terdapat dua model dibina iaitu Model A dan Model B. Kedua-dua model berasaskan titisan air yang akan bertindak membasahi tanaman. Reka bentuk ini bukan sahaja menjimatkan air, malah mengelakkan risiko terlebih siram yang boleh merosakkan akar tanaman.

Pembinaan kedua-dua model ini menggunakan bahan asas yang mudah diperolehi dan kos yang rendah. Ini bertujuan memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna sama ada berpendapatan rendah atau tinggi.

Menerusi Model A, titisan air dialirkan melalui putik kapas yang dipasang di bahagian bawah botol dan kawalan air dilakukan pada bahagian penutup botol. Manakala Model B, kawalan titisan air dilakukan pada pelaras yang dipasang di hujung tiub.

Sepanjang tempoh pembangunan, murid turut menjalankan beberapa siri pengujian bagi memastikan keberkesanan sistem iaitu data bacaan titisan air dalam tempoh tertentu direkod dan dianalisis, seterusnya perbezaan titisan air setiap model digambarkan menggunakan carta palang.

Projek ini memberi pendedahan menyeluruh terhadap elemen STEM di mana murid bukan sahaja mempelajari konsep keperluan air bagi tumbuhan, malah didedahkan kepada proses reka bentuk kejuruteraan, penyelesaian masalah teknikal serta analisis data secara sistematik. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan keyakinan diri murid.

Dalam konteks pertanian bandar yang semakin berkembang, inovasi seperti Siram Pintar Solo berpotensi membantu komuniti mengurus tanaman secara lebih efisien, khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan masa dan sumber air. Usaha ini membuktikan bahawa idea kecil yang diasaskan daripada pemerhatian harian mampu diterjemahkan menjadi solusi praktikal kepada isu sebenar masyarakat.

Dengan sokongan berterusan daripada pihak sekolah dan komuniti setempat, diharapkan lebih banyak projek inovasi murid dapat diketengahkan pada masa hadapan. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah melahirkan generasi muda yang kreatif, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden. – Rohaiza Zakaria dan Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button