Delegasi SLCP ke UMT perkukuh kerjasama penternakan kelulut
Gambar SLCP
KUALA NERUS, 25 Februari 2026: Delegasi penyelidik Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP) ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan lawatan penanda aras bagi memperkukuhkan perkongsian kepakaran serta bertukar pengalaman dalam bidang penternakan kelulut, selaras dengan pelaksanaan Geran Knowledge Transfer Program Ekonomi MADANI 2026: Keusahawanan Kelulut.
Program ini memfokuskan kepada pembangunan penternakan kelulut secara lestari dalam kalangan isteri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) melalui pendekatan keusahawanan berasaskan komuniti.

Delegasi SLCP diketuai oleh Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib dan Syahrina Abdullah disambut oleh Pro Naib Canselor Industri, Masyarakat dan Digital, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor.
Inisiatif strategik ini mendapat pendanaan daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) sebanyak RM140,000 dengan kerjasama Pusat Jaringan Universiti Industri (CUIC), UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pelaksanaan program ini di Kem Rejimen Sempadan 5 (RS5), Bukit Kayu Hitam, Kedah, menjadi bukti komitmen universiti dalam memperluas impak penyelidikan ke lapangan sebenar.
Dr. Mohamad Khadafi berkata, lawatan ini bertujuan membincangkan pendekatan strategik dalam memperkasakan industri penternakan kelulut sebagai sumber ekonomi mampan, di samping menyokong agenda pembangunan komuniti dan keusahawanan berasaskan pertanian bernilai tinggi.
Menurutnya, kolaborasi strategik bersama Institusi Pengajian Tinggi seperti UMT amat penting dalam memastikan projek di bawah Geran KPT Ekonomi MADANI 2026 dapat dilaksanakan secara berimpak tinggi, khususnya dari aspek penyelidikan, latihan teknikal dan pemindahan ilmu kepada komuniti setempat.

Dalam sesi bengkel dan perbincangan tersebut, kedua pihak berkongsi amalan terbaik berkaitan pengurusan asas koloni kelulut, inovasi penghasilan produk hiliran seperti madu dan propolis serta kaedah pemantauan kualiti bagi memenuhi piawaian pasaran tempatan dan antarabangsa.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti potensi penyelidikan bersama termasuk pembangunan modul latihan penternakan kelulut, penggunaan teknologi pintar dalam pemantauan sarang serta strategi pemasaran produk berasaskan kelulut secara lebih sistematik.
Kunjungan dan lawatan ini turut menyaksikan sesi pertemuan santai bersama Pro Naib Canselor UMT di Pejabat Timbalan Naib Canselor UMT bagi membincangkan peluang kerjasama jangka panjang antara UUM dan UMT yang menyentuh aspek memorandum persefahaman (MoU), pelaksanaan projek komuniti bersama serta penglibatan pelajar dalam program latihan industri dan penyelidikan berkaitan industri kelulut.

Secara keseluruhannya, lawatan ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuhkan jaringan strategik antara UUM dan UMT, sekali gus menyokong aspirasi Ekonomi MADANI melalui pembangunan sektor penternakan kelulut yang berdaya saing dan mampan menjelang tahun 2026.
Pihak UMT turut diwakili oleh Ketua Penyelidik bagi Geran KTP Ekonomi Madani Penternakan Kelulut 2026, Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak dan Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat, Dr. Zuha Rosufila Abu Hassan yang menyambut baik kunjungan tersebut. – Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib



