Education

Delegasi SQS UUM kukuhkan kerjasama akademik bersama FMIPA Universitas Negeri Jakarta, Indonesia

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman

JAKARTA, 4 Ogos 2026: Delegasi Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan akademik ke Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Negeri Jakarta (UNJ) bagi memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Kunjungan tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Dekan FMIPA dan disambut oleh Dekan FMIPA, Dr. Hadi Nasbey, S.Pd., M.Si., bersama barisan pengurusan fakulti serta pensyarah.

Delegasi UUM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman bersama Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad dan Dr. Ayu Abdul Rahman.

Dr. Syariza berkata, kunjungan ini merupakan platform penting untuk memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa sejajar dengan aspirasi kedua-dua universiti dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan.

Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak telah mengenal pasti beberapa inisiatif kerjasama strategik yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Antaranya ialah penerbitan artikel penyelidikan secara bersama dalam jurnal berindeks antarabangsa bagi meningkatkan impak penyelidikan serta memperkukuhkan jaringan akademik antara penyelidik Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, kedua-dua institusi turut bersetuju untuk meneroka permohonan geran penyelidikan bersama yang melibatkan bidang-bidang seperti sains pemutusan, penyelidikan operasi, analitik data, kecerdasan buatan, matematik dan statistik. Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang perkongsian kepakaran serta pembangunan penyelidikan berimpak tinggi.

Aspek pengabdian kepada masyarakat (community engagement) turut menjadi agenda utama perbincangan. Kedua-dua pihak berhasrat untuk membangunkan program khidmat masyarakat secara bersama yang memanfaatkan kepakaran akademik dalam menyelesaikan isu-isu komuniti melalui pendekatan berasaskan penyelidikan dan inovasi.

Di samping itu, kedua-dua institusi turut membincangkan peluang penyeliaan akademik oleh pensyarah SQS kepada pensyarah FMIPA UNJ yang belum melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Inisiatif ini dijangka dapat memperkukuhkan pembangunan modal insan, meningkatkan kolaborasi penyelidikan rentas negara serta memperluaskan jaringan akademik antara kedua-dua institusi.

Kedua-dua institusi menyatakan komitmen untuk merealisasikan kerjasama yang telah dibincangkan melalui pelaksanaan aktiviti akademik secara berperingkat dan berterusan.

Kunjungan ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara UUM dan UNJ, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan tinggi serta pembangunan ilmu di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button