Dinamik politik dan hubungan antarabangsa
SEMENYIH, 11 Jun 2025: Persatuan Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan akademik ke School of Politics and International Relations, University of Nottingham Malaysia, dengan kerjasama Society of Politics and International Relations (SPIR-Nott).
Lawatan tersebut disambut mesra oleh Dr. Benjamin Robin Barton, Ketua School of Politics and International Relations.
Dalam ucapan yang disampaikan, Dr. Barton dengan penuh hormat menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Sains Politik UUM kerana memilih University of Nottingham Malaysia sebagai salah satu destinasi utama dalam siri lawatan akademik.
Beliau menekankan kepentingan memperkukuh hubungan akademik antara pelajar dan institusi pengajian tinggi.
Agenda utama lawatan ini adalah sesi dialog akademik yang berfokuskan kepada isu semasa di rantau ASEAN.
Antara topik yang dibincangkan termasuk krisis yang berlangsung di Myanmar, pertikaian di Laut China Selatan, keselamatan maritim, pemerdagangan manusia, keselamatan siber, serta kemajuan integrasi ekonomi ASEAN.
Sesi dialog tersebut juga menampilkan pandangan ilmiah daripada Dr. Awang Dzul Hashriq Dharfizi yang mewakili Pusat Pengajian Antarabangsa UUM. Manakala barisan panel dari University of Nottingham Malaysia terdiri daripada Dr. Benjamin Robin Barton, Dr. Tricia Yeoh, Dr. Abdillah Noh dan Dr. Karma Tashi Choedron yang menyumbangkan pelbagai perspektif akademik dan praktikal dalam perbincangan tersebut.
Lawatan diakhiri dengan pemberian pertukaran cenderamata antara kedua-dua persatuan sebagai simbol penghargaan dan kerjasama akademik.
Nur Izah Farzana, Presiden Persatuan Sains Politik UUM menyampaikan cenderamata kepada Ammar Luqman Azril, Presiden SPIR-Nott sebagai lambang hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua institusi.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program utama Persatuan Sains Politik bertajuk “Academic Visit on Politics and International Affairs”, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Jun 2025 di Kuala Lumpur.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap dinamik politik dan hubungan antarabangsa di Malaysia dan Asia Tenggara melalui siri lawatan ke institusi penting termasuk pusat penyelidikan, kedutaan, dan universiti yang memainkan peranan penting dalam hal ehwal serantau dan diplomasi.