Diskusi Pra-Belanjawan kumpul pandangan pakar untuk Belanjawan Negara
SINTOK, 18 Jun 2025: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia menganjurkan Diskusi Pra-Belanjawan 2026 di Bilik Mesyuarat SEFB sebagai usaha memperkukuh peranan universiti dalam merangka dasar fiskal negara.
Forum ini merupakan inisiatif tahunan yang digerakkan oleh Institut Dasar Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (ECOFI) di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Shamzaeffa Samsudin selaku Pengarah ECOFI, dan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Logasvathi a/p Murugiah selaku Pengerusi program.
Program yang berlangsung seharian ini berjaya menghimpunkan ahli akademik merentasi pelbagai pusat pengajian seperti SEFB, School of Business Management (SBM), School of Applied Psychology, Social Work & Policy (SAPSP), School of Government (SOG) dan School of Technology Management and Logistics (STML) dalam perbincangan berfokus dan strategik ke arah penyediaan input berkualiti untuk Belanjawan 2026.
Empat kumpulan perbincangan telah dibentuk berdasarkan empat tema utama pembangunan negara, iaitu:
Tema 1: Perkhidmatan Sosial dan Kesihatan: Pengukuhan Akses Kepada Perkhidmatan Kesihatan dan Perlindungan Sosial Untuk Golongan Rentan di Malaysia.
Tema 2: Pertanian dan Sekuriti Makanan: Memodenkan Sektor Pertanian dan Makanan Berlandaskan Prinsip Madani: Ke Arah Keterjaminan Makanan, Produktiviti dan Kelestarian Negara.
Tema 3: Menuju Malaysia Madani: Memperkasa Modal Insan Melalui Transformasi Pendidikan dan Institusi Pengajian Tinggi.
Tema 4: Industri dan Infrastruktur: Ekonomi Madani dari Mikro ke Global: Memacu PKS, Industri Halal dan Ekonomi Sempadan Melalui Teknologi dan Pembiayaan Strategik.
Forum ini bukan sahaja menjadi medan wacana ilmiah, malah membuka ruang kepada pakar-pakar UUM untuk menyumbang idea bernas dan data yang berasaskan kajian dalam menyokong pembangunan dasar negara.
Input yang dikumpulkan akan dirumuskan dalam bentuk memorandum dasar dan disalurkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebagai sebahagian daripada proses konsultasi penyediaan Belanjawan 2026.
Forum ini diakhiri dengan sesi pembentangan hasil perbincangan setiap kumpulan, mencerminkan komitmen UUM dalam menyumbang secara aktif kepada negara melalui kepakaran dan kajian ilmiah.