Education

DOSH-UUM bincang kerjasama anjur Festival Kesihatan Pekerjaan Berimpak Tinggi

Gambar Bahagian Pengurusan Risiko, UUM

SINTOK, 26 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Bahagian Pengurusan Risiko (RMD) dilantik sebagai rakan strategik bagi penganjuran Karnival Kesihatan Pekerjaan 2026 atau Occupational Health Carnival 2026 (OH Carnival) yang dijadualkan berlangsung pada 30 September depan di kampus UUM, Sintok.

Pengarah RMD, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman berkata, penganjuran karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan majikan, pekerja, institusi pendidikan dan masyarakat.

UUM melalui RMD akan berperanan sebagai penyelaras utama pihak universiti, khususnya dalam penyediaan tempat, fasiliti, sokongan teknikal, keselamatan kampus, mobilisasi peserta dan penyelarasan aktiviti sepanjang karnival.

Karnival berkenaan dijangka dirasmikan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Ir. Ts. Hazlina Yon dan menyasarkan penglibatan kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pekerja industri, pengamal KKP, pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah dan komuniti setempat.

Antara pengisian utama yang dirancang ialah Seminar Kesihatan Pekerjaan secara hibrid, Pertandingan Occupational First Aider, Kuiz KKP Interaktif, Pertandingan Mewarna KKP, Pertandingan Video Kreatif TikTok KKP, OSH Career Talk, OSH Fun Walk, pemeriksaan kesihatan asas, kempen derma darah serta pameran oleh agensi kerajaan dan pihak industri.

Pelantikan UUM sebagai rakan strategik mencerminkan keyakinan JKKP Negeri Kedah terhadap keupayaan universiti dalam pengurusan risiko KKP, pembangunan modal insan serta pelaksanaan program berimpak tinggi yang melibatkan industri dan komuniti.

Kerjasama strategik ini diharapkan dapat memperluas penyampaian maklumat kesihatan pekerjaan, meningkatkan literasi KKP dalam kalangan masyarakat serta membudayakan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif. – Muhammad Haniff Umar Muhamad Tarmizi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button