Education

Dr. Amalia Rosmadi terpilih wakil penyelidik muda Malaysia dalam Program Pembangunan Kapasiti Penyelidikan Peringkat Asia Tenggara

Gambar Dr. Amalia Rosmadi

BANGKOK, 8 September 2025: Pensyarah dari Pusat Pengajian Pengurusan dan Seni Persembahan (SCIMPA), Dr. Amalia Rosmadi, telah terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Kapasiti Penyelidikan 2025 peringkat Asia Tenggara (ASEAN) di Chulalongkorn University.

Program berprestij yang dibiayai sepenuhnya ini merupakan hasil kolaborasi antara Chulalongkorn University dan Edinburgh Napier University, United Kingdom, dengan sokongan dana daripada British Academy.

Dr. Amalia berkata, matlamatnya adalah untuk memperkasa penyelidik muda di rantau ASEAN dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan berimpak global.

Dr. Amalia merupakan salah seorang penyelidik muda Asia Tenggara yang terpilih menyertai program ini, yang berfokus kepada peningkatan kecemerlangan akademik beliau, serta sumbangan dalam menggalakan kolaborasi antarabangsa, dan sokongan pembangunan manuskrip berkualiti tinggi untuk penerbitan jurnal. Pemilihan ini menjadi pengiktirafan kepada potensi beliau dalam bidang penyelidikan.

Bengkel ini telah berlangsung secara bersemuka di Chulalongkorn Research Building, dari 27 hingga 29 Ogos lalu. Antara sorotan utama termasuk sesi perkongsian (bertajuk) “Innovation and Sustainability: Global Perspectives with Local Impact” oleh Prof. Dr. Sukanlaya Sawang dari Edinburgh Napier Universiti serta “Crafting Your Research Narrative” oleh Prof. Dr. Maura Sheehan.

Penyelidik turut mengambil bahagian dalam latihan ‘Writing Sprint‘ dan ‘Peer Evaluation‘, yang dianjurkan dalam empat kumpulan tematik di bawah bimbingan mentor-mentor terkemuka seperti Prof. Dr. Maura Sheehan (Labour, Decent Work & Economic Inclusion), Prof. Dr Giang Thanh Long dan Prof. Madya Dr. Ruttiya Bhula-or (Migration, Ageing & Social Equity), Prof. Madya Dr. Poh Yen Ng (Sustainable Development & Climate Resilience), dan Prof. Dr Sukanlaya Sawang (Innovation & Technological Transformation).

Program diakhiri dengan cabaran 3-Minute Research Pitch, di mana peserta membentangkan hasil kerja mereka kepada panel pakar dan menerima maklum balas mendalam untuk menyokong pembangunan selanjutnya ke arah penerbitan dan aplikasi dasar.

Pemenang dipilih berdasarkan tiga kriteria utama: pemahaman dan kandungan, penglibatan dan komunikasi, serta impak dan daya pujuk. Dr. Amalia berjaya merangkul anugerah juga telah memenangi ‘Best Pitching‘ hasil penilaian pihak juri atas pemilihan oleh pihak juri yang terlibat.

Sepanjang bengkel tiga hari ini, peserta memperoleh pandangan berharga mengenai inovasi dan kelestarian penyelidikan, memperkukuhkan keupayaan menghasilkan penulisan akademik yang jelas dan teliti untuk penerbitan jurnal berimpak tinggi, dan mendapat manfaat daripada perspektif sarjana antarabangsa serta editor jurnal.

Program ini dijangka akan menghasilkan 30 artikel untuk dihantarkan kepada jurnal antarabangsa terkemuka, selain mencipta peluang bermakna untuk mewujudkan rangkaian penyelidikan kolaboratif dengan rakan-rakan akademik rantau-meletakkan asas yang kukuh untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dan menjana impak sosial yang berkekalan.

Penyertaan Dr. Amalia dalam program berprestij ini bukan sahaja meningkatkan profil penyelidikan beliau, tetapi turut mengangkat nama Universiti Utara Malaysia di persada antarabangsa sekali gus membuka ruang kerjasama penyelidikan yang lebih luas antara UUM dan institusi antarabangsa yang terkemuka, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan yang diiktiraf global. – Dr. Siti Salmi Jamali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button