Dua pelajar SBM harumkan nama UUM, semarakkan Inovasi Keusahawanan dan Pengkomersialan
Gambar Eisya Suraya Suhaimi Iskandar
KUALA LUMPUR, 26 November 2025: Dua pelajar Program Keusahawanan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan iaitu “Malaysia Trade Challenge (MTC 2025)” yang berlangsung semalam di Ujana Ilmu, Business Information Centre (BIC), Menara MATRADE.

Pelajar berkenaan ialah Eisya Suraya Suhaimi Iskandar dan Muhammad Syahmi Irfan Syamsul Badri, apabila kumpulan mereka, THE FOMOs, meraih tempat ketiga dalam pertandingan anjuran bersama pihak MATRADE, FedEx dan Universiti Malaya.
Membawa inovasi bertajuk *FitMe: A Solution that Enhances Confidence during Online Shopping*, mereka bukan sahaja menjadi wakil tunggal UUM sejak peringkat separuh akhir pada Jun 2025, malah berjaya menonjolkan potensi mahasiswa dalam bidang inovasi keusahawanan dan pengkomersialan.
Kejayaan ini turut dipacu oleh bimbingan dan kepimpinan Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin selaku mentor dan penggerak utama, yang mengetengahkan idea “Expose, Explore, Experience”.

Dr. Muhamad Ali berkata, ia sebagai falsafah pembelajaran yang berkesan, melihat platform ‘pitching’ seperti ini sebagai wadah terbaik untuk pelajar bukan sahaja mendalami aspek inovasi keusahawanan dan pengkomersialan, tetapi juga memperkukuhkan jati diri dan keyakinan mereka.
Kedua pelajar itu telah membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai RM1,000.
Tekad mereka selepas ini adalah untuk mendaftarkan paten bagi inovasi tersebut seterusnya menatijahkannya menjadi suatu ‘produk’ nyata dan boleh dikomersialkan.
Semoga kejayaan ini dapat memangkin lebih banyak idea inovasi di kalangan pelajar UUM seterusnya menggapai kejayaan yang lebih gemilang kelak. – Prof. Madya Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin



