Dua pensyarah UUM kongsi kepakaran dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad
CHINA, 17 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) dan Prof. Madya Dr. Tan Fee Yean dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dijemput sebagai penceramah utama dalam sebuah persidangan akademik berprestij di Sichuan bermula 3 hingga 7 Mac lalu.
Jemputan ini merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran pensyarah UUM dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Persidangan tersebut telah menghimpunkan para akademik, penyelidik, dan pemimpin industri dari seluruh dunia bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan tinggi, latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dr. Shanusi telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Future Ready Education: Preparing Students For AI Driven World” yang menekankan kepentingan persediaan institusi pendidikan untuk kesediaan pelajar celik AI dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.
Dalam perbincangan pra-persidangan, delegasi UUM yang diketuai oleh Dr. Shanusi turut mengadakan pertemuan dengan beberapa institusi pendidikan terkemuka di China.
Pertemuan ini bertujuan meneroka peluang kerjasama dalam bentuk program pertukaran akademik, penyelidikan bersama, serta pembangunan program pendidikan yang lebih holistik.
Dengan pencapaian ini, UUM terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja unggul di peringkat kebangsaan, tetapi juga diiktiraf di arena antarabangsa. Kejayaan ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi akademik serta memperkukuhkan jenama UUM di persada dunia.